
“Keputusan SOP bagi individu positif Covid-19 mengundi pada Isnin nanti,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah selepas acara “Putrajaya Pink October Fun Walk 2022″ di sini.
Syor pertama, katanya, menyediakan satu laluan dan bilik mengundi khas untuk pesakit Covid-19.
“Satu lagi opsyen adalah pesakit Covid-19 ke khemah KKM, kita pastikan mereka ada pelindung dan sebagainya, barulah kita bawa pesakit tersebut ke tempat mengundi. Tak perlu beratur dan sebagainya.”
Hisham sebelum ini dilaporkan berkata, individu positif Covid-19 tetapi tidak kritikal dibenarkan mengundi pada PRU15, dengan mematuhi SOP ketat yang akan diumumkan SPR.
SPR menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon dan pengundian awal pada 5 serta 15 Nov depan.
Mengenai kanser payudara, beliau berkata, KKM menetapkan sasaran pengesanan peringkat awal tahap satu dan dua kepada lebih 75% berbanding 50% ketika ini.
Di negara maju, katanya, saringan kanser payudara tahap satu lebih 95%.
Untuk itu, beliau berkata, kempen pengesanan awal kanser payudara akan terus dipergiatkan bagi memberi kesedaran kepada wanita, terutamanya yang berusia 50 tahun ke atas dan mereka yang berisiko tinggi.