‘Mimpi ngeri’ helikopter terhempas tak patah semangat doktor berbakti kepada Orang Asli

‘Mimpi ngeri’ helikopter terhempas tak patah semangat doktor berbakti kepada Orang Asli

Dr Munirah Abd Rahman berkata walaupun masih trauma tetapi beliau tidak akan berhenti berkhidmat kepada komuniti Orang Asli.

Dr Munirah Abd Rahman (kanan) bersama iparnya, Azie Razak. (Gambar Azie Razak)
PETALING JAYA:
Seorang doktor yang terselamat dalam kejadian helikopter terhempas di Cameron Highlands Rabu lalu berkata, insiden itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat Orang Asli.

Dr Munirah Abd Rahman, 35, berkata walaupun trauma yang dialaminya, beliau tidak akan berhenti daripada perkhidmatan doktor udara di Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, Munirah mengakui memerlukan sedikit masa untuk pulih daripada mimpi ngeri itu.

“Saya tidak sabar untuk kembali lagi. Saya sudah berkhidmat kepada Orang Asli selama empat tahun dan saya rindu untuk bekerja semula.

“Insiden ini masih menghantui saya tetapi saya yakin akan pulih sepenuhnya,” katanya kepada FMT.

Munirah kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Beliau mengalami retak tulang rusuk dan kecederaan dalaman di badan.

Dalam satu temubual dengan Bernama, juruterbang Fedzrol Norazam berkata, angin kuat menyebabkan beliau terpaksa melakukan pendaratan cemas.

Mengimbau kejadian itu, Munirah berkata, dia dan empat lagi pasukannya baru pulang selepas melawat komuniti Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Mereka menyedari ada sesuatu tidak kena ketika di Brinchang apabila angin kencang menyebabkan helikopter itu hilang kawalan.

“Saya sangat takut. Saya menutup mata apabila helikopter hilang kawalan. Saya tidak ingat sama ada saya menjerit atau tidak. Waktu itu saya reda kalau saya mati.

“Apabila helikopter itu mendarat, saya dan beberapa orang tercampak manakala beberapa lagi masih dalam pesawat.

“Saya sangat bersyukur kerana terselamat,” katanya.

Mangsa lain dalam kemalangan itu adalah dua jururawat, Norhasikin Abu Seman, 38; Hashilawati Hussin, 43; dan pembantu perubatan, Zainurol Fazlan Zainudin, dan Azlan Hanifah masing-masing berumur 40 dan 31 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.