
Presiden PKR itu berkata, beliau juga tidak mahu memburuk-burukkan calon lawan sebaliknya mahu pengundi yakin tentang pembaharuan mahu dibawa PH untuk rakyat.
Anwar turut menggesa semua calon PH untuk sama-sama berkempen secara matang.
“Saya tak mahu menang kerana cerca lawan, tak payah. Saya nak menang Insya-Allah kerana keyakinan rakan-rakan tentang apa yang boleh saya lakukan untuk Tambun dan negara Malaysia.
“Dan tengoklah, sepanjang kempen ini, saya juga beritahu kawan-kawan kita, tak usah, tak perlu cerca mereka. Kalau orang tahu, tahu, tak tahu tak apa…sudah tapi kita kena jaga ini (tidak mencerca),” katanya pada perjumpaan bersama veteran tentera di dewan orang ramai RPT Batu 10 Chepor dekat Chemor.
Perjumpaan itu turut dihadiri Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi.
Dalam pada itu Anwar turut menafikan bahawa PH tidak menjaga prinsip perlembagaan jika memerintah sebaliknya terus memeliharanya.
“Betul saya kawan dengan DAP dan Amanah, betul kita perlu sokongan orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan tetapi prinsip perlembagaan tak pernah kita goyah.
“Budaya bangsa Melayu dan Islam agama persekutuan, tak pernah kita pertikai,” katanya.
Terdahulu, ketika menghadiri Pesta Lee Cha bersama DAP dan masyarakat Sungai Kanthan di Pasar Khanthan juga di Chemor, Anwar secara berseloroh berkata beliau yakin dapat memenangi kerusi Parlimen Tambun selepas melihat jumlah rakyat yang keluar menyokong programnya hari ini.
Katanya, sokongan rakyat yang sanggup berpanas menghadiri program dihadiri menguatkan lagi keyakinan itu bahawa rakyat mahukan perubahan.