
Beberapa pemerhati berpendapat, pembangkang yang berpecah belah akan bergelut untuk menewaskan BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) seperti yang ditunjukkan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor tetapi PH sudah menyatakan pendiriannya dengan jelas mengenai perkara itu.
Pada PRN, BN memperoleh kurang separuh daripada undi popular tetapi menang kerana baki undi terpecah antara PH dan PN.
Adam berkata, PH tidak akan mengambil “jalan pintas” dengan bekerjasama dengan gabungan lain.
“Kami sudah ada (beberapa) pengalaman buruk bekerja dengan orang lain pada masa lalu, jadi lebih baik tak ulang (kesilapan). Ia mengecewakan.
“Kami bukan seperti PAS atau Warisan yang melompat kepada sesiapa yang mereka fikir akan menang pilihan raya,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
Adam berkata, PH juga perlu mengingati penyokongnya dan mengelak daripada mengelirukan mereka dengan membentuk pakatan dengan parti-parti yang mempunyai nilai dan prinsip berbeza.
Bagi Adam, tidak mustahil untuk PH menang dalam pilihan raya asalkan berpegang pada agenda dan prinsipnya.
Kerjasama dengan Muda
Adam, yang sebelum ini menentang kerjasama dengan Muda, juga berkata beliau tidak lagi mempunyai masalah berhubung pakatan politik PH dengan parti itu, yang diterajui bekas Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Beliau juga berkata, perbincangan antara PH dan Muda berjalan lancar, walaupun timbul keperluan untuk memastikan penyelarasan yang lebih baik.
“Kami perlu pastikan kami sertai PRU15 bersama Muda dengan berkesan dan mengelak situasi di Johor berulang,” kata Adam.
“Walaupun kali ini ia (kerjasama) sangat jelas, tetapi kami akan sangat berhati-hati. Bukan kerana kami tak percaya mereka, tetapi kami hanya perlu pastikan apa yang berlaku di Larkin tidak berulang.”
Beliau merujuk kepada pertembungan antara Rasid Abu Bakar daripada Muda dan Dr Zamil Najwah daripada PKR dalam perebutan kerusi DUN Larkin pada PRN Johor. Pertandingan itu dimenangi oleh calon BN.
Bagaimanapun, Adam mengakui pakatan politik dengan Muda mungkin tidak mudah direalisasikan kerana keputusan untuk bekerjasama dengan parti belia itu dibuat pada saat-saat akhir.
Beliau berkata, jika Muda berusaha untuk menyertai PH lebih awal, lebih mudah untuk gabungan itu menerimanya.
Baru-baru ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu akan mengadakan pakatan dengan Muda untuk PRU15 kerana sukar untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk memasukkan Muda sebagai ahli gabungan sebelum pilihan raya.