Pengundi Sabah, Sarawak takkan terpedaya dengan janji jawatan TPM, kata penganalisis

Pengundi Sabah, Sarawak takkan terpedaya dengan janji jawatan TPM, kata penganalisis

Pembangunan ekonomi serta isu harian lebih penting bagi pengundi di negeri-negeri itu.

Hanya ahli politik yang akan tertarik kepada prospek mempunyai timbalan perdana menteri dari negeri-negeri Malaysia Timur disebabkan kuasa dan prestij yang tersirat, kata Anantha Raman Govindasamy.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis menyangkal idea bahawa pengundi di Sabah dan Sarawak akan berasa kagum dengan prospek mempunyai seorang mahupun dua timbalan perdana menteri dari Malaysia Timur.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Anantha Raman Govindasamy berkata, mereka tidak rasa janji pilihan raya, yang dibuat oleh kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), akan mempengaruhi pengundi di negeri-negeri itu.

Jeniri menyebutnya sebagai penghinaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Rakyat Sabah dan Sarawak bukannya bodoh,” katanya.

Jeniri Amir.

“Mereka layak diberi bukan sahaja jawatan timbalan perdana menteri, tetapi juga perdana menteri.”

Beliau berkata, janji Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim ialah janji kosong yang pernah dibuat sebelum ini, seperti PH dalam manifestonya untuk pilihan raya umum (PRU) 2018.

Katanya, janji sebegitu masih belum ditunaikan kerana “mereka mengambil mudah” rakyat Sabah dan Sarawak.

Anantha berkata, pengundi lebih berminat dengan langkah-langkah yang akan meringankan masalah sosio-ekonomi mereka.

“Pembangunan ekonomi serta isu harian lebih penting bagi mereka, berbanding pelantikan timbalan perdana menteri,” katanya.

“Perkara ini terutamanya (penting) bagi Sabah, salah satu pengeluar sumber asli terbesar dan salah satu negeri termiskin di Malaysia.”

Pada Ahad, Zahid berkata, jika menang pada PRU15, BN akan melantik tiga timbalan perdana menteri, masing-masing seorang dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Keesokan harinya, Anwar membuat janji yang sama, tetapi hanya dua, iaitu seorang dari Semenanjung dan seorang lagi dari Sabah atau Sarawak.

Anantha Raman Govindasamy.

Anantha berkata, hanya ahli politik yang akan tertarik kepada prospek mempunyai timbalan perdana menteri dari negeri-negeri Malaysia Timur disebabkan kuasa dan prestij yang tersirat.

Katanya, masih belum dapat dilihat apa kuasa yang akan dipegang penyandang jawatan itu, sambil menyatakan bahawa Zahid mahupun Anwar tidak menjelaskan secara terperinci mengenai peranan dan tanggungjawab terbabit.

“Penting bagaimana mereka mentakrifkan jawatan itu dan bagaimana ia akan memberi kesan kepada rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya apabila melibatkan pengagihan ekonomi dan ketidakseimbangan antara Malaysia Timur dan Semenanjung.

“Jika tidak, ia akan sama seperti mempunyai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan Malaysia Timur,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak Alexander Nanta Linggi mengalu-alukan janji itu tetapi berkata, penting untuk mengetahui sama ada timbalan perdana menteri itu akan mempunyai kuasa untuk meluluskan projek atau peruntukan tertentu.

Pada Selasa, Rahezzal Shah Abdul Karim daripada UiTM Sabah berkata, rakyat Sabah dan Sarawak lebih suka melihat Putrajaya menunjukkan iltizam politik dalam menyelesaikan isu yang melanda mereka, berbanding mempunyai timbalan perdana menteri dari Malaysia Timur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.