Badan Peguam perlu desak cuti balik undi, kata kumpulan

Badan Peguam perlu desak cuti balik undi, kata kumpulan

Gerakan Peguam Muda berkata cuti tanpa rekod pada 18 Nov akan membolehkan mereka pulang ke kampung halaman untuk mengundi pada PRU15 keesokannya.

Badan Peguam turut digesa meminta badan kehakiman menangguhkan semua kes sehari sebelum PRU15, seperti dilakukan untuk acara ‘Walk for Judicial Independence’ Jun lalu.
PETALING JAYA:
Badan Peguam perlu mendesak firma guaman membenarkan peguam dan kakitangan mereka bercuti pada 18 Nov untuk pulang ke kampung halaman mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) keesokannya, kata kumpulan peguam muda.

Gerakan Peguam Muda dalam kenyataan turut menggesa Badan Peguam meminta badan kehakiman menangguhkan semua kes pada tarikh sama.

Katanya, Badan Peguam pernah meminta badan kehakiman memberi laluan kepada acara “Walk for Judicial Independence” anjurannya pada Jun lalu dan PRU15 sepatutnya alasan cukup baik untuk mengemukakan permintaan sama.

Gerakan itu berkata, cuti pada 18 Nov akan memberi masa mencukupi buat peguam dan kakitangan firma guaman pulang ke kampung halaman mengundi, memandangkan lalu lintas mungkin sesak pada hari mengundi.

“Kami mendapati mungkin kakitangan pejabat, peguam muda atau pelatih dalam kamar berdepan sedikit kesukaran dari segi kewangan atau mengatur perjalanan pulang ke kampung halaman kerana notis singkat.

“Oleh itu, kami menggesa firma guaman mengisytiharkan 18 Nov sebagai hari cuti untuk kakitangan pulang ke kampung halaman dan tidak dipotong daripada cuti tahunan.”

Kumpulan itu berkata, kumpulan Telegram sudah diwujudkan bagi menyelaras pengangkutan buat peguam yang mahu pulang ke kampung halaman untuk mengundi PRU15 di https://t.me/+jSPjCmaGQ503NGU1.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.