
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa hasrat utamanya bertanding di Parlimen Tambun adalah bagi melonjakkan kekuatan PH di Perak.
“Keduanya adalah untuk menawan Putrajaya kerana landskap politik itu berubah dan Malaysia punya keupayaan untuk meningkat jauh lebih baik dan lebih maju.
“Saya tak mahu layan (bertanding di Tambun) sebagai pertembungan peribadi (dengan Peja). Bapa beliau (Azumu Tak), sabahat baik saya. Mertuanya juga (Mohammed Radzi Manan, bekas ketua Umno Kampar dan bekas exco Perak) sahabat baik saya.
“Kedua-dua tokoh (ini) yang banyak membantu saya (ketika) dalam Umno dulu,” katanya pada sidang media selepas bertemu dengan jentera pilihan raya PH di Pusat Operasi Pilihan Raya DUN Manjoi di sini.
Pada Konvensyen Harapan di Ipoh minggu lepas, Anwar mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15.
Beliau tidak memilih kawasan yang mudah dimenangi untuk bertanding, jelasnya.
Anwar meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya dengan majoriti 23,560 undi, selepas menewaskan enam pencabarnya, yang terdiri daripada calon bebas dan PAS, dalam pilihan raya kecil pada Oktober 2018.
Kerusi Parlimen Tambun kini disandang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu. Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14, menewaskan calon Barisan Nasional, Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan bahawa langkah PH meletakkan bekas menteri besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat, Nik Omar dan bekas setiausaha kerajaan negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman sebagai calon seolah-olah menunjukkan gabungan itu ketandusan calon.
Katanya, apa yang ingin ditonjolkan PH yang lebih penting adalah untuk mengubah landskap politik negara.
“Takkanlah kalau ada 100 calon, hanya dua calon luar cabang (bahagian), (bermaksud) PKR ketandusan calon,” katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan Nik Omar dan Zainal Azman akan bertanding di kerusi Parlimen di Perak pada PRU15. Kedua-duanya bukan pemimpin bahagian PKR Perak.