Kecewa tapi dah jangka, kata Rara mengenai keputusan Wong Tack

Kecewa tapi dah jangka, kata Rara mengenai keputusan Wong Tack

Bekas ADUN Ketari itu berkata, beliau menghormati keputusan 'komradnya' untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong,

Young Syefura Othman berkata, cabaran terbesarnya ialah perpecahan undi dan sokongan memandangkan Wong Tack akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Young Syefura Othman yang dinamakan sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen Bentong semalam berkata, beliau sedikit kecewa penyandang kerusi itu memutuskan untuk menentangnya sebagai calon bebas.

Bekas ADUN Ketari itu berharap dapat bekerjasama dengan Wong Tack untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Sebagai penyandang kerusi Bentong, banyak yang saya ingin belajar daripadanya.

“Saya sememangnya menghormati Wong Tack sebagai seorang sahabat dan komrad saya di dalam parti,” katanya kepada FMT.

Syefura, yang turut dikenali sebagai Rara berkata, beliau menghormati keputusan Wong Tack untuk mempertahankan kerusi itu sebagai calon bebas.

“Namun, saya sebenarnya menjangkakan perkara ini akan berlaku.”

Wong Tack semalam mengumumkan akan bertanding di Bentong sebagai calon bebas selepas digugurkan oleh DAP. Beliau mendakwa telah dimaklumkan oleh DAP bahawa beliau tidak sesuai dengan “strategi besar” parti itu untuk PRU15.

Wong Tack memenangi kerusi Parlimen itu pada PRU14 selepas menewaskan Presiden MCA ketika itu, Liow Tiong Lai dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Syefura berkata, cabaran terbesarnya ialah perpecahan undi dan sokongan memandangkan Wong Tack akan mempertahankan kerusi itu.

“Namun, saya percaya gerak kerja dan rekod prestasi saya di DUN Ketari akan meyakinkan pengundi menyokong saya dan Pakatan Harapan (PH).”

Katanya, beliau akan turun padang untuk memastikan pengundi tahu beliau mewakili PH dan Wong Tack tidak lagi bersama DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.