Kami hanya minta 1 kerusi Parlimen daripada PH, kata ketua PSM

Kami hanya minta 1 kerusi Parlimen daripada PH, kata ketua PSM

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar berkata 'sangat mengecewakan' jika PH tidak membenarkan PSM bertanding di Sungai Siput.

Dr Michael Jeyakumar merupakan Ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal, dengan menewaskan penyandang dan bekas presiden MIC, mendiang S Samy Vellu pada PRU 2008.
PETALING JAYA:
Parti Sosialis Malaysia (PSM) hanya meminta Pakatan Harapan memberikan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Tetapi katanya, tiada sebarang respons daripada PH setakat ini dan “sangat mengecewakan” jika gabungan itu tidak membenarkan calon PSM bertanding di Sungai Siput.

“Ia adalah permintaan agak minimum. Kami hanya meminta satu kerusi Parlimen, iaitu Sungai Siput dan dua kerusi DUN yang bukannya kerusi PH,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PSM sudah berbincang dengan wakil PH berhubung cadangan pakatan pilihan raya, tetapi tiada keputusan dibuat Majlis Presiden gabungan itu.

Terdahulu, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim hari ini berkata, “buat masa ini”, calon PKR akan bertanding di Sungai Siput, tetapi katanya, rundingan untuk kerusi itu masih berjalan, tanpa memberikan butiran lanjut.

Jeyakumar berkata, sehingga pengumuman rasmi dibuat, PSM akan terus menaruh harapan ia dapat bertanding di kerusi itu pada PRU15.

“Kami mahu sekurang-kurangnya seorang individu dari PSM bersuara mengenai pelbagai isu membabitkan masyarakat terpinggir, di Parlimen. Ia sesuatu yang saya rasakan hanya parti kami sahaja boleh lakukan kerana kami sangat dikenali mereka.”

Katanya, sukar untuk pihak lain cuba menangani isu membabitkan masyarakat terpinggir dan golongan pekerja di negara ini.

“Sehingga itu, mari kita lihat apa yang mereka (PH) beritahu kami. Kami hanya akan tahu pada Sabtu,” katanya.

Sebelum ini, PSM dilaporkan tidak berhasrat menyertai PH secara rasmi sebagai parti komponen dan hanya mahu menjalin pakatan pilihan raya untuk PRU15.

Jeyakumar adalah Ahli Parlimen Sungai Siput selama dua penggal dari 2008 hingga 2018. Bagaimanapun, beliau tewas kepada S Kesavan dari PKR pada PRU14 selepas rundingan PSM dan PH tidak membuahkan hasil.

Presiden MIC, SA Vigneswaran turut mengintai Parlimen Sungai Siput, kerusi yang disandang bekas presiden MIC, mendiang S Samy Vellu selama lapan penggal, sebelum tewas kepada Jeyakumar pada 2008 (PRU12).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.