Kata dua jalin kerjasama persekutuan dengan GPS, ketua PKR Sarawak ‘dihentam’

Kata dua jalin kerjasama persekutuan dengan GPS, ketua PKR Sarawak ‘dihentam’

Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keangkuhan sebegitu menjadi antara punca GPS tidak boleh bekerjasama dengan PH.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, desakan PKR untuk menjalin kerjasama dengan GPS sekarang, bukannya selepas PRU, berbaur angkuh.
PETALING JAYA:
Tuntutan Pakatan Harapan (PH) supaya gabungan kerajaan Sarawak, GPS membuat keputusan mengenai hubungan peringkat persekutuan dengannya sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) mendapat teguran tajam daripada seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Abdul Karim Rahman Hamzah, naib presiden parti tonggak GPS itu berkata, desakan Pengerusi PKR Sarawak Roland Engan, supaya gabungan itu membuat keputusan sekarang dan bukannya selepas pilihan raya, berbaur angkuh.

Katanya, keangkuhan sebegitu menjadi antara punca GPS tidak boleh bekerjasama dengan PH.

Beliau menggesa Engan untuk “merendah diri” dan mengutamakan kepentingan negeri-negeri Borneo dalam perjuangan politiknya sebagai rakyat Sarawak.

Katanya, sukar bagi GPS untuk menjalin sebarang kerjasama dengan PH sebelum mahupun selepas pilihan raya.

Gabungan itu, katanya, “tidak asing” dengan perjuangan DAP dan PKR dalam politik Malaysia dan Sarawak.

“Ia tidak serasi langsung dengan perjuangan GPS. DNA, perjuangan dan visi mereka bukan sesuatu yang lazim bagi Sarawak,” katanya kepada FMT.

“Saya bukan terlalu yakin, tetapi saya dapat rasakan PKR tidak akan mendapat sebarang kerusi di Sarawak pada PRU15.”

Beliau berkata, pemimpin parti di banyak negara lain biasanya akan membincangkan kerjasama dan membentuk kerajaan campuran hanya selepas pilihan raya.

Dalam keadaan sedemikian, parti dengan kerusi terbanyak akan mendapat portfolio yang lebih bagus, katanya.

“Itulah sebabnya lebih masuk akal untuk GPS merasmikan sebarang kerjasama hanya selepas PRU15.”

Pengerusi GPS dan Premier Sarawak Abang Johari Openg baru-baru ini berkata, GPS akan menyokong parti yang boleh membentuk kerajaan persekutuan yang kuat dan stabil selepas PRU15.

Presiden PBB itu berkata, gabungan itu telah menyokong bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin ketika beliau membentuk kerajaan pada 2020 kerana kestabilan negara penting bagi GPS.

GPS akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen Sarawak pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.