
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Ahmad Nasfy Yasin berkata, Sanjeevan, 38, dinafikan perbicaraan adil yang mengakibatkan salah laksana keadilan.
Ini kerana, katanya, pihak pendakwaan tidak memanggil tujuh saksi yang berada di tempat kejadian untuk memberi keterangan atau ditawarkan kepada Sanjeevan apabila dia diarahkan membela diri.
“Sabitan itu tidak selamat dan perlu dibatalkan,” kata hakim itu.
Nasfy, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Zainal dan Mariana Yahya berkata, Mahkamah Tinggi juga terkhilaf apabila apabila mengesahkan penghakiman majistret yang tersilap mengenakan beban pembuktian lebih tinggi ke atas Sanjeevan.
Majistret itu memutuskan Sanjeevan perlu membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian.
Tetapi, peguam V Sithambaram berhujah, pihak pembelaan hanya perlu mewujudkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
“Kami mendapati beban lebih tinggi diletakkan kepada perayu membawa padah,” katanya.
Nasfy berkata, pengecaman Sanjeevan dari kandang tertuduh oleh saksi pendakwaan semasa perbicaraan juga diragui.
“(Itu) bukan pengecaman positif,” katanya.
Sithambaram yang dibantu S Preakas dan Miguel Sequerah, berhujah tiada perbarisan cam.
Nasfy berkata, pegawai penyiasat gagal mengambil keterangan daripada Sanjeevan atau menyiasat kes itu.
Pada 28 April lalu, Sanjeevan mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk mendengar merit rayuannya, selepas sembilan soalan undang-undang dibenarkan, Kebenaran itu perlu kerana perkara itu datang dari Mahkamah Majistret.
Pada 14 Ogos 2018, Mahkamah Majistret Temerloh menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM7,000 ke atas Sanjeevan yang didapati bersalah memeras ugut RM1,500 daripada ahli perniagaan, Chan Leong Kwan.
Sanjeevan didakwa memberitahu Chan bahawa dia tidak dapat menjalankan perniagaannya, jika gagal membayar wang itu.
Sanjeevan yang juga ahli perniagaan, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Komersial Triang di Bera, Pahang pada 9.45 malam 1 Julai 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Dia dibebaskan selepas membayar ikat jamin RM6,000 dan denda itu.
Pada 27 Nov 2020, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Sanjeevan dan diperintahkan memulakan hukuman penjaranya, selepas penangguhan hukuman itu tidak dibenarkan.
Tetapi, pada 4 Dis 2020, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan hukuman buat Sanjeevan, dengan syarat dia membayar ikat jamin RM35,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.
Dia juga dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Semenyih di Kajang, Selangor setiap minggu sehingga kes itu selesai dan mendapatkan kebenaran ketua polis daerah Kajang sebelum meninggalkan daerah itu.