
Mohd Zaidi Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49, didakwa di hadapan Majistret Wong Chai Sia, tetapi tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa atas tuduhan sama seperti yang dikenakan terhadap 11 lagi individu dua minggu lepas.
Mereka dituduh bersama-sama menculik lelaki Palestin itu di Jalan Mayang di sini pada 10.40 malam, 28 Sept lepas bagi mendapatkan rahsia membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan ikat jamin terhadap mereka.
Pendakwaan dijalankan oleh Kamarul Aris Kamalludin dan Fatin Hanum Abdul Hadi, manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.
Polis dilaporkan menyelamatkan mangsa Palestin sehari selepas dia diculik, dan 18 orang ditahan di pelbagai lokasi di Lembah Klang berhubung penculikan itu.
Dilaporkan kemudian bahawa penculik terbabit telah direkrut oleh agensi perisikan Israel Mossad untuk menculik mangsa, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan organisasi Palestin Hamas.
Polis masih belum mengesahkan atau menafikan dakwaan ini.