
Ia tular di sosial media selepas seorang pelajar dipercayai cuba menjual Samsung Tab A8 yang diperolehi secara percuma pada harga RM900.
Difahamkan, pelajar terbabit mahu menukar gajet tersebut kepada iPad. Bagaimanapun, tindakan beliau dikecam banyak pihak.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan warganet di Facebook “B40 Buat Perangai Apa Hari Ini”, pelajar terbabit didakwa menjual gajet itu menerusi sebuah laman jualan dalam talian.
“Dapat daripada Peranti Siswa, tak guna pun. Alasan jual, sebab nak tukar kepada iPad untuk kegunaan pelajar. Perlukan banyak penulisan dan buat nota,” dakwa pelajar tersebut.
Bagaimanapun, tindakan pelajar itu mendapat kritikan ramai dengan pengguna Facebook Muhammad Afzhal Abdul Wahab berkata, perbuatan itu tidak berintegriti dan peranti itu perlu dipulangkan untuk diberikan kepada pelajar yang lebih memerlukan.
“Tiada integriti, Tab itu guna duit cukai yang rakyat Malaysia bayar. Sila pulangkan semula tab tersebut supaya kerajaan boleh berikan kembali kepada pelajar yang memerlukan. Orang begini harus disenaraihitamkan kerana menyeleweng bantuan yang disalurkan,” tulis Afzhal.
Hamzah Bakawi pula berkata, pelajar yang mendapat peranti itu sepatutnya bersyukur dengan peluang dan bantuan yang diberikan kerajaan.
Pengguna Facebook, Al-Hafiz Ahmad pula meminta Kementerian Pengajian Tinggi menyemak semula syarat pemberian peranti itu bagi mencegah ketirisan jutaan ringgit yang boleh memanfaatkan golongan lebih memerlukan.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 400,000 mahasiswa dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah B40 layak menerima Samsung Galaxy Tab A8 LTE.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa dilaporkan mengingatkan pelajar yang menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia agar tidak menyalahgunakan atau menjualnya.