PRU15: Wan Azizah tanding Bandar Tun Razak, kata sumber

PRU15: Wan Azizah tanding Bandar Tun Razak, kata sumber

Sumber berkata keputusan itu dibuat minggu lalu dan pilihan calon adalah antara bekas timbalan perdana menteri itu atau pengerusi PH Anwar Ibrahim.

Pengumuman mengenai pencalonan bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka dibuat pada Jumaat.
PETALING JAYA:
Bekas timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Sumber dari PKR bahagian Bandar Tun Razak memberitahu FMT, perkara itu disahkan minggu lalu.

“Ia sama ada beliau atau Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

“Memandangkan Anwar akan bertanding di Tambun, Wan Azizah (diputuskan) akan bertanding di sini,” kata sumber itu.

Keputusan siapa yang akan dicalonkan dijangka diumumkan Jumaat ini apabila PKR mengumumkan senarai penuh calonnya untuk PRU15.

“Setakat ini, senarai calon sudah 98% lengkap,” kata sumber itu lagi.

Kerusi Bandar Tun Razak dimenangi Kamarudin Jaffar pada PRU14 ketika masih bersama PKR.

Bagaimanapun, beliau adalah antara 11 Ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah kepada Bersatu pada Februari 2020, yang menyaksikan kejatuhan PH.

Sebelum itu, Khalid Ibrahim dari PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak u pada PRU12 dan PRU13.

Beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor selepas PRU12 pada 2008 tetapi dipecat PKR pada 2014 selepas enggan menyerahkan jawatan menteri besar kepada Wan Azizah.

Wan Azizah, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pandan adalah pengerusi PH dan presiden PKR sebelum memberi laluan kepada suaminya, Anwar.

Sebelum ini Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dilaporkan mahu bertanding di Pandan pada PRU15, kerusi yang pertama kali dimenanginya pada PRU13 ketika membuat penampilan sulung di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.