Jawatan TPM perlu ada kuasa lulus projek atau peruntukan, kata GPS

Jawatan TPM perlu ada kuasa lulus projek atau peruntukan, kata GPS

Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi berkata, kuasa meluluskan projek pembangunan atau peruntukan tertentu lebih signifikan berbanding jawatan.

Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan jawatan timbalan perdana menteri untuk Sabah dan Sarawak perlu mempunyai portfolio demi kebaikan Malaysia Timur. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cadangan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) untuk Sabah dan Sarawak perlu mempunyai kuasa untuk meluluskan projek pembangunan atau peruntukan tertentu demi kepentingan rakyat, kata seorang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Agung GPS, Alexander Nanta Linggi berkata, kuasa lebih signifikan berbanding jawatan semata-mata.

“Sekiranya ada jawatan itu (TPM) nanti, ia mesti ada portfolio tertentu yang boleh beri keberkesanan pada jawatan itu untuk kebaikan Sarawak dan Sabah,” katanya dipetik Bernama selepas menghadiri majlis angkat sumpah setiausaha politik kepada premier Sarawak di Kuching.

Baru-baru ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan tiga jawatan TPM masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung diwujudkan, jika gabungan itu menang dominan pada pilihan raya umum ke-15.

Katanya, cadangan berhubung pelantikan wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bagi mengisi jawatan TPM itu akan dimasukkan dalam manifesto BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 Nov ini, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.