
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 21,018 anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seramai 18,511 orang, Jabatan Bomba dan Penyelamat (14,829,) Angkatan Pertahanan Awam (APM) (10,510) dan Jabatan Sukarelawan (Rela) (4,367).
“Jumlah berkenaan akan ditambah, sekiranya tidak mencukupi.
“Untuk banjir, pihak PDRM telah bersedia. Bukan setakat PDRM, tetapi bersama agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti Rela, selain APM dan ATM,” katanya selepas taklimat pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan Monsun Timur Laut di Bukit Aman di sini.
Mengenai persiapan logistik menghadapi bencana banjir, beliau berkata, sebanyak 1,816 bot polis, kenderaan pacuan empat roda (1,810), lori (1,596), 19 aset udara dan lain-lain aset udara akan terlibat dalam operasi banjir.
“Kalau kita lihat monsun (timur laut) ini mungkin berlaku di Pahang atau Kelantan dan Terengganu, walaupun kadang-kadang berlaku di barat seperti Selangor, tetapi ia tidaklah berlaku serentak di seluruh Malaysia. Kita harap tidaklah (berlaku banjir besar) seperti biasa.
“Kalau banjir berlaku di kawasan dan negeri-negeri tertentu, anggota yang digerakkan kali ini mencukupi untuk menjaga kepentingan rakyat, terutamanya yang terlibat pada waktu banjir.”
Mengulas sekiranya berlaku banjir luar biasa di seluruh negara, Ismail berkata, jumlah keanggotaan akan ditambah mengikut keperluan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalannya, Razarudin Husain.
Ditanya sama ada cuti anggota polis akan dibekukan bagi menghadapi bencana banjir, Ismail berkata, perkara itu akan dimaklumkan kemudian dan diselaraskan Zuki.
“Cuti banjir, KSN akan tengok, tetapi kebiasaannya kalau Disember, pegawai tinggi kerajaan dan sebagainya tidak dibenarkan bercuti dan siap sedia untuk banjir. Cuti PRU15 tidak perlu beku kerana ia sehari sahaja dan lagipun ia Sabtu (hari mengundi).
“Ramai yang tuduh kerajaan hendak buat ‘trick’ konon-kononnya supaya orang nak balik suruh mengundi pada hari bekerja. Ia tidak betul. Kita sudah tetapkan mengundi pada Sabtu dan kita bagi kebebasan sepenuhnya kepada rakyat untuk mengundi, jadi itu hak yang dijamin oleh Perlembagaan.”
Mengenai dakwaan terdapat ejen perisikan dari Israel, Mossad yang aktif di Malaysia, Ismail berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam taklimat berkenaan.