
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata mengambil contoh di Barat yang mana calon veteran masih menerajui pertandingan demokrasi dan mendapat sokongan bukan sahaja daripada generasi mereka, tetapi juga golongan muda.
“Di Amerika Syarikat, Joe Biden misalnya, kali pertama beliau bertanding jawatan presiden pada tahun 80-an, Bernie Sanders juga pada usia yang agak veteran.
“Begitu juga Jeremy Corbyn (di United Kingdom). Walaupun berusia, tetapi mereka punyai penyokong dari golongan muda, malah Corbyn hampir semua penyokongnya anak muda,” katanya menurut Astro Awani.
Penyandang Parlimen Setiawangsa itu, berkata pengalaman dan susur galur perjuangan Anwar yang membawa kepada kewujudan PKR itu tidak dapat dinafikan.
Malah, katanya, ia menjadi kekuatan untuk dirujuk para pemimpin muda yang diberi peluang menduduki kerusi barisan hadapan parti.
“Saya, Nurul Izzah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang, kami masuk dalam kancah ini dalam usia 20-an…dan hari ini, kami semua naib presiden pada usia kami 40-an, yang mungkin kalau dalam Umno, saya baru dapat jadi ketua cawangan.
“Kalau kita tengok Rafizi (Ramli), usianya 45 tahun. Purata umur naib-naib presiden PKR adalah 47 tahun. Dan saya paling muda, 40 tahun. Sementara dalam Umno, purata umur naib-naib presidennya adalah 67 tahun, kalau tak silap saya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, berpandangan Malaysia perlu beranjak daripada naratif politik lama yang berkisar tentang Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
Katanya, sejak sekian lama dua sosok ini mendominasi arena politik tanah air.
“Sejak saya kecil hingga hari ini, sudah tahun 2022, masih lagi tentang Mahathir-Anwar. Tak habis-habis tentang dua individu ini. Ini masanya untuk kita memulakan peralihan generasi itu,” katanya.