Sudah lama patutnya ada TPM dari Sabah, Sarawak, kata Ongkili

Sudah lama patutnya ada TPM dari Sabah, Sarawak, kata Ongkili

Pelantikan itu selaras dengan status sama rata negeri-negeri Borneo seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63, katanya.

Maximus Ongkili berkata, PBS akan menyokong sepenuhnya sebarang usul untuk melantik timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak.(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelantikan timbalan perdana menteri dari Malaysia Timur adalah sesuatu yang “sudah lama tertangguh”, kata menteri sementara bagi hal ehwal Sabah dan Sarawak Maximus Ongkili.

Ongkili berkata pihaknya, Parti Bersatu Sabah (PBS), akan menyokong sepenuhnya sebarang usul untuk melantik timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, pelantikan itu akan selaras dengan status sama rata negeri-negeri Borneo seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), PBS akan mengusulkan perkara ini semasa mesyuarat pertama Majlis Khas MA63 (MKMA63),” kata presiden PBS itu dalam kenyataan.

Ongkili berkata, pelantikan timbalan perdana menteri dari Sabah dan Sarawak akan mewakili Malaysia baharu.

“(Langkah) ini boleh menjadi lonjakan besar untuk Malaysia dan saya yakin ia akan dipersetujui sebulat suara oleh MKMA63.”

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk melantik timbalan perdana menteri dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika gabungan itu menang pada PRU15.

Beliau berkata, BN akan mengusulkan pelantikan tiga timbalan perdana menteri dari setiap wilayah bagi memastikan rakyat di seluruh negara diwakili dengan baik.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata, gabungan itu akan melantik dua timbalan perdana menteri jika ia dipilih untuk memerintah pada PRU akan datang.

Katanya, akan ada seorang timbalan perdana menteri dari Semenanjung Malaysia dan seorang dari Sabah atau Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.