
Menurut Yeo, ceramah PH menyaksikan “muka sama” sahaja yang hadir, dan perkembangan itu bukan sesuatu yang bagus untuk gabungan itu menjelang PRU15.
“Pada pandangan saya, PH perlu turun ke bawah, jumpa orang-orang baharu,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Bukit Baru, Melaka.
“Kita kena semak penerimaan (rakyat terhadap) kita. Kita kena tengok betul-betul keadaan sekeliling.”
Yeo memberikan peringatan itu agar PH tidak terlalu selesa dengan dengan sokongan yang diterima ketika ini.
Beliau menarik perhatian kepada usaha Barisan Nasional (BN) Melaka mendekati rakyat, berbanding sebelum 2018.
“Tengok Umno, mereka rajin di Melaka. Saya puji kerja keras mereka (sebab) mereka dah lihat perkara berbeza (tewas PRU14),” katanya.
Di peringkat kerusi Parlimen, PRU14 menyaksikan PH menang empat kerusi berbanding dua kerusi BN. Di peringkat DUN, jumlah kerusi PH dan BN tidak jauh berbeza, dengan masing-masing 15 dan 13 kerusi.
Bagaimanapun, piilihan raya negeri (PRN) Melaka November tahun lepas menyaksikan BN menawan 21 kerusi DUN, PH bertahan di lima kerusi, dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 19 Nov sebagai hari pengundian bagi PRU15.
Menurut Yeo, DAP akan bertanding di Parlimen Kota Melaka dan Alor Gajah.