Anwar kata 2 TPM, media salah petik, kata pembantu

Anwar kata 2 TPM, media salah petik, kata pembantu

Rakaman suara dikongsi dengan FMT menyatakan Anwar Ibrahim menyebut 'satu timbalan perdana menteri Semenanjung dan satu Sabah-Sarawak'.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim hanya mengumumkan dua jawatan timbalan perdana menteri, bukan tiga seperti dilaporkan, kata setiausaha akhbarnya, Tunku Nashrul Tunku Abaidah.
PETALING JAYA:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim hanya mengumumkan dua jawatan timbalan perdana menteri (TPM) akan diperuntukkan gabungan itu dan bukan tiga seperti dilaporkan media semalam, kata pembantunya.

Susulan itu, setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah meminta media memperbetulkan laporan yang telah dikeluarkan itu.

“Saya merujuk laporan media terkait pengumuman Anwar mengenai cadangan jawatan TPM di Sandakan semalam.

“Cadangan itu merangkumi seorang TPM dari Semenanjung dan Sabah/Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Bernama melaporkan, PH akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya tiga jawatan TPM diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas PRU15 19 Nov.

Dalam laporannya, media itu memetik Anwar sebagai berkata, “…kita akan ada satu TPM dari Semenanjung, satu dari Sabah dan satu dari Sarawak”.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul juga berkongsi rakaman suara Anwar kepada FMT ketika presiden PKR itu ditemui pemberita selepas Jelajah PH Sabah, Sandakan, semalam.

“Cadangan kita sejak dari dulu lagi sejak zaman Pakatan Rakyat adalah satu timbalan perdana menteri dari Semenanjung, satu Sabah-Sarawak. Tapi yang lain kalau ada perubahan, kita akan bincang,” menurut rakaman suara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.