
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 9,669 mangsa banjir daripada 3,666 keluarga di Kelantan ditempatkan di 53 PPS di Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Gua Musang, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.
Di Perak, seramai 4,330 mangsa banjir daripada 1,376 keluarga dipindahkan ke 43 PPS di Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk, Hilir Perak, Muallim, Kuala Kangsar, Batang Padang serta Larut, Matang dan Selama.
Di Selangor, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 2,888 orang daripada 780 keluarga berbanding 2,910 orang malam tadi. Mereka ditempatkan di 23 PPS di Shah Alam, Klang, Sepang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Di Kedah, seramai 2,855 mangsa banjir daripada 1,024 keluarga ditempatkan di 18 PPS di Kota Setar dan Kubang Pasu.
Di Perlis, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,745 orang daripada 611 keluarga di 13 PPS di Kangar dan Padang Besar.
Di Terengganu, 334 orang daripada 106 keluarga dipindahkan ke 12 PPS di Marang, Besut, Dungun dan Kuala Terengganu.
Jumlah mangsa banjir di Pulau Pinang menurun kepada 44 orang daripada 10 keluarga di sebuah PPS di Seberang Perai Tengah.
Di Pahang, 19 mangsa banjir daripada 8 keluarga masih berlindung di sebuah PPS di Lipis.
Di Brickfields pula, tujuh orang dipindahkan ke Pusat Komuniti Seri Petaling susulan tanah runtuh akibat hujan lebat kelmarin.