
Menurutnya, beliau bertemu beberapa pemimpin kanan dan menyampaikan permintaannya dan berharap mendapat maklum balas positif tidak lama lagi.
“Saya hadir di konvensyen Pakatan Harapan Khamis lalu dan memaklumkan hasrat saya kepada pemimpin pakatan.
“Saya kini berharap dapat bertemu Pengerusi PH Anwar Ibrahim tidak lama lagi. Melawan bekas timbalan perdana menteri di kawasannya sendiri adalah satu cabaran besar.
“Walaupun saya bertanding sebagai ‘calon rakyat’, bertanding di bawah PH adalah ideal kerana saya menyahut cabaran besar,” katanya kepada FMT.
Tawfik, anak lelaki timbalan perdana menteri Malaysia kedua Dr Ismail Abdul Rahman, mengesahkan dengan FMT baru-baru ini bahawa beliau sedia melawan Zahid di mana saja pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bertanding.
Ini termasuk Bagan Datuk, yang diwakili Zahid sebagai Ahli Parlimen sejak 1995 dan pastinya akan mempertahankannya.
“Sudah tiba masa orang Melayu bangkit dan memperjuangkan nilai yang betul,” kata bekas Ahli Parlimen Sungai Benut itu.
Disember lalu, Tawfik serta peguam dan aktivis Siti Kasim mengumumkan pelancaran Gerak Independent untuk mempromosikan calon bebas bagi PRU15.
Pergerakan itu turut ditunjangi penduduk Wangsa Maju Raveentheran Suntheralingam, aktivis KJ John, dan peguam yang berpangkalan di Sabah Roland Cheng.
Ia digembar-gemburkan oleh mereka sebagai kuasa ketiga tetapi berkata pergerakan itu terbuka untuk membentuk pakatan strategik dengan parti atau individu lain.