Polis siasat insiden provokasi ketika majlis anjuran Muda di Muar

Polis siasat insiden provokasi ketika majlis anjuran Muda di Muar

Kes disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 susulan kekecohan 30 individu memakai pelitup muka sehingga membawa kepada insiden membaling botol serta mercun.

Tangkap layar video kejadian memaparkan sekumpulan individu mengganggu majlis anjuran Muda di Muar malam tadi. (Gambar Muda)
MUAR:
Polis sedang menyiasat insiden provokasi yang berlaku ketika Majlis Malam Mesra Muo anjuran Muda yang diadakan di sebuah dewan restoran, di Jalan Bakri di sini, malam tadi.

Ketua Polis Muar Raiz Mukhliz Azman Aziz, dalam kenyataan hari ini, berkata siasatan terhadap insiden pada kira-kira 9.35 malam itu dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Beliau berkata, kekecohan dipercayai bermula apabila tetamu di sebuah dewan keluar bersemuka dengan sekumpulan kira-kira 30 orang yang memakai pelitup muka sambil menjerit-jerit, yang kemudiannya membawa kepada insiden membaling botol serta mercun.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi atau media sosial berhubung kejadian itu.

Sementara itu Ketua Penerangan Muda Muar Muhammad Amir Fiqri Mustapha, berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan polis untuk memberi keterangan, sekali gus mencari dalang provokasi berkenaan.

Pada 18 Okt, Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dilaporkan, berkata pihaknya telah menerima lima laporan polis berhubung kekecohan dalam satu ceramah politik anjuran Muda, di Parit Jawa di sini, pada 16 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.