PH Terengganu agih kerusi Parlimen sama rata antara Amanah, PKR

PH Terengganu agih kerusi Parlimen sama rata antara Amanah, PKR

Pakatan Harapan sasar menang di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan Dungun.

Ketua PH Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata walaupun gabungan itu di negeri berkenaan dianggap kerdil dan kurang berpengaruh, pihaknya menjangkakan mampu melakukan kejutan di empat Parlimen. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Pakatan Harapan (PH) Terengganu menetapkan pembahagian kerusi sama rata antara Amanah dan PKR, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata empat kerusi diperuntukkan untuk Amanah ialah Parlimen Kuala Nerus, Marang, Besut dan Kuala Terengganu, manakala PKR akan bertanding di Dungun, Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu.

“Kita agih lapan Parlimen sama rata. Kita bagi keutamaan kepada Parlimen dahulu sebab pilihan raya negeri lambat lagi.

“Agihan antara Amanah dan PKR….DAP tidak ada. Tetapi kita tunggu juga keputusan muktamad daripada Majlis Presiden PH,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera PH Kuala Terengganu di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Raja Kamarul Bahrin Shah,, berkata walaupun PH Terengganu dianggap kerdil dan kurang berpengaruh, pihaknya menjangkakan mampu melakukan kejutan di empat Parlimen pada PRU15.

“Kita yakin ada peluang di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan mungkin juga Dungun,” katanya yang membayangkan akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru supaya penyokong PH Terengganu memberi sokongan kepada Azhar Abdul Shukur, yang dicadangkan menjadi calon Amanah di Parlimen Marang.

Azhar pernah menjadi calon Amanah ketika pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, pada 2016.

Katanya walaupun Azhar bukan anak tempatan, namun beliau sanggup mengambil cabaran untuk bertanding di kubu paling kuat PAS demi membawa pembaharuan.

Parlimen Marang merupakan kerusi yang diwakili sejak sekian lama oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.