Penjelasan: Terbang selamat tanpa pelitup muka

Penjelasan: Terbang selamat tanpa pelitup muka

Pemasangan penapis kecekapan tinggi (HEPA) dalam pesawat mampu menyingkirkan 99.9% udara tercemar.

Walaupun pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pesawat namun penumpang dinasihatkan terus memakainya jika tidak sihat atau tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi. (Gambar Pexels)
SEPANG:
Keputusan kerajaan pada September yang tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka ketika menaiki pesawat mengundang perasaan bercampur baur dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini kerana, ada di antaranya menyambut baik, dan ada juga yang menyatakan kebimbangan.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, memberi jaminan keputusan itu dilaksanakan mengikuti penilaian risiko dan penambahbaikan kepada pengudaraan dalam kabin pesawat, termasuk pemasangan penapis kecekapan tinggi (HEPA) dalam pesawat.

Orang awam juga masih digalakkan menggunakan pelitup muka ketika berada dalam pesawat sekiranya berada dalam kategori berisiko tinggi, mengalami sebarang simptom Covid-19 atau melakukan perjalanan bersama individu berisiko tinggi seperti kanak-kanak atau individu berusia.

FMT bercakap dengan jurutera AirAsia dan anak kapalnya, bagi memahami bagaimana syarikat itu memastikan penumpangnya dilindungi daripada Covid-19 walaupun tidak memakai pelitup muka.

Udara kabin ‘segar’

Pengurus penyelenggaraan, Yap Sheng Lin, berkata udara kabin akan disegarkan setiap dua ke tiga minit menerusi proses membabitkan campuran udara kabin dengan udara bertekanan dari luar pesawat.

Ia merupakan amalan biasa sejak bertahun lalu, namun orang awam hanya mengetahuinya susulan pandemik.

Katanya, apabila pesawat melakukan penerbangan pada altitud tinggi, udara luar akan menjadi sangat kering dan tidak sesuai bagi orang awam bernafas.

Justeru, udara bertekanan dari luar pesawat diperangkap dari enjin dan dihantar ke ruangan bercampur di ruang kargo untuk proses penapisan.

Pada masa sama, 40% hingga 60% udara di kabin dikitar menerusi penapisan HEPA sebelum dicampur dengan udara bertekanan di luar pesawat dan diudarakan semula ke kabin.

Apa itu penapisan HEPA?

Penapisan HEPA merupakan kelengkapan terbaharu dipasang pada pesawat bagi menyingkirkan partikel tercemar di udara. Yap berkata, penapis berkenaan mampu menyingkirkan sehingga 99.9% pencemaran, demi memastikan keselamatan dan kualiti udara dikitar.

“Kami mempunyai dua penapis HEPA bagi pesawat Airbus A320 di ruangan hadapan, pada kiri dan kanan, yang mana digantikan setiap 5,000 jam penerbangan atau dilaporkan berlaku kerosakan.

“Kesemua pesawat AirAsia dilengkapi penapisan itu,” katanya sambil menyatakan walaupun penapis tidak rosak, ia mesti digantikan mengikut jadual penyelenggaraan.

Pembersihan dan nyahkuman

Seorang anak kapal senior AirAsia, Rosita Sulaiman, berkata mereka perlu memastikan pesawat bersih dan selamat sebelum dinaiki penumpang dan ketika transit.

Ia termasuk mengelap setiap dulang, menyembur ruang kabin dengan cecair nyahkuman termasuk lantai kabin divakum.

“Kami juga dilatih untuk membantu apa sahaja situasi kecemasan dalam pesawat, termasuk mengenal pasti mereka yang kurang sihat.”

Yap berkata, tindakan pembersihan menyeluruh juga dilaksanakan bagi setiap pesawat pada waktu malam, bukan sahaja meliputi di kawasan kabin, malah di kokpit.

Langkah nyahkuman mengambil masa dua jam dan kebiasaannya membabitkan enam pasukan pembersihan demi menghalang pencemaran silang kuman.

Juruterbang dan anak kapal lengkap divaksin

Yap berkata, semua kakitangan AirAsia sudah lengkap divaksin Covid-19, bermula daripada kakitangan di bahagian sumber manusia, kakitangan lapangan, anak kapal dan juruterbang.

Ia antara langkah diambil sebagai jaminan keselamatan dan ketenangan minda bagi pengembara walaupun mereka melakukan perjalanan tanpa pelitup muka.

Walaupun pelitup muka tidak lagi diwajibkan dalam pesawat di Malaysia, negara lain mungkin mempunyai peraturan tersendiri.

Lebih penting, penumpang dinasihatkan mengambil kira keadaan pengembara lain, mengamalkan kawalan kendiri dan memakai pelitup muka sekiranya tidak sihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.