Pemandu e-panggilan, teksi bidas ‘bayaran masuk’ RM2 di KLIA2

Pemandu e-panggilan, teksi bidas ‘bayaran masuk’ RM2 di KLIA2

Caj itu bermula Jumaat lalu selepas syarikat yang menguruskan aliran trafik di KLIA2 memasang gantri di Aras 1.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) berkata pihaknya mengetahui caj baharu yang dikenakan oleh syarikat yang dilantik untuk menguruskan perkhidmatan di KLIA2. (Gambar KLIA)
PETALING JAYA:
Penumpang udara kini perlu membayar tambahan RM2 sekiranya mereka memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-panggilan dan teksi selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Ia adalah “bayaran masuk” baharu yang dikenakan ke atas semua pemandu e-panggilan dan teksi jika mereka ingin mengambil penumpang di Pintu 5, Aras 1 lapangan terbang berkenaan.

Caj baharu itu, yang bermula Jumaat lalu, dibuat selepas syarikat yang menguruskan aliran trafik dan sistem beratur di KLIA 2 memasang gantri di Aras 1, di mana pemandu e-panggilan dan teksi mesti menggunakan kad Touch N Go mereka untuk masuk ke kawasan mengambil penumpang.

Pemandu juga dikehendaki mempunyai nilai minimum RM20 dalam kad Touch ‘n Go mereka.

Namun, pemandu terbabit dipercayai mengalihkan caj tambahan RM2 itu kepada penumpang mereka.

Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) yang dihubungi mengesahkan pengenalan dasar baharu oleh RA Consultant Group Sdn Bhd (RACG), syarikat yang dilantik oleh Segi Astana Sdn Bhd, yang merupakan pemegang konsesi kompleks bersepadu gateway@klia2.

“RM2 adalah caj perkhidmatan oleh RACG untuk semua pemandu e-panggilan dan teksi sebelum mereka dibenarkan mengambil penumpang di hab pengangkutan klia2,” katanya kepada FMT.

Menurut agensi itu, pemandu bas juga perlu membayar bayaran masuk itu tetapi pada kadar berbeza sebelum dibenarkan mengambil penumpang di kawasan berkenaan.

Apad juga tidak menyatakan sama ada ia telah memberi lampu hijau kepada RACG atau Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk mengenakan “bayaran masuk” sejak Jumaat.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA), Arif Asyraf Ali yang menyifatkan bayaran masuk RM2 itu sebagai “tol”, berkata tidak ada justifikasi dibuat untuk memperkenalkan sistem gantri.

“Saya tertanya-tanya apakah perkhidmatan yang RACG sediakan kepada kami untuk mengenakan tol sedemikian untuk mengambil penumpang?” katanya, sambil menambah pemandu boleh diberi penarafan buruk oleh penumpang kerana isu kos tambahan.

“Pemandu sudah terbeban dengan isu kenaikan harga sejak kebelakangan ini dan kini kami terpaksa berdepan dengan perkara ini,” keluhnya.

Arif meminta RACG dan MAHB agar pemandu diberikan tempoh ihsan sekurang-kurangnya 15 minit tanpa caj seperti sistem parkir di lapangan terbang.

“Sebagai contoh, jika pemandu Grab melebihi tempoh ihsan selama 15 minit di hab pengangkutan, maka wajarlah untuk mengenakan caj RM2 kepada kami,” katanya.

“Kami juga perlu mempertimbangkan kemungkinan penumpang boleh membuat pembatalan saat akhir selepas pemandu sudah memasuki hab dan membayar yuran masuk.”

Naib Presiden GDMA Azril Ahmat berkata penumpang tidak akan berpuas hati kerana perlu mengeluarkan kos tambahan dan pemandu akan menanggung beban kemarahan mereka.

“Ini adalah langkah mengaut keuntungan semata-mata oleh syarikat pengurusan dan MAHB. Akhirnya kami yang akan rugi kerana biasanya kami terpaksa menunggu agak lama untuk penumpang,” katanya.

Difahamkan bahawa KLIA juga telah mengenakan “bayaran masuk” yang sama sebanyak RM10 untuk pemandu teksi dan e-panggilan, namun hanya jika pemandu melebihi tempoh ihsan 5 minit untuk mengambil penumpang di Pintu 4, Aras 1 pintu utama terminal utama.

FMT cuba mendapatkan penjelasan MAHB berhubung “bayaran masuk” yang dikenakan di kedua-dua lapangan terbang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.