‘Bayaran masuk’ teksi, e-panggilan di klia2 tangguh

‘Bayaran masuk’ teksi, e-panggilan di klia2 tangguh

Bayaran ditangguhkan sehingga perbincangan antara syarikat menguruskan trafik dan sistem beratur di kompleks bersepadu gateway@klia2 selesai.

Caj RM2 dikenakan terhadap pemandu teksi dan e-panggilan yang mengambil penumpang di klia2 bermula Jumaat lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bayaran masuk RM2 dikenakan terhadap pemandu teksi dan e-panggilan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang membangkitkan kebimbangan pengembara udara ditangguhkan.

Caj itu ditangguhkan sehingga perbincangan antara pihak terbabit iaitu RA Consultant Group Sdn Bhd (RACG), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan syarikat e-panggilan selesai.

Dalam kenyataan, RA Consultant Group berkata keputusan diambil susulan pertemuan pihaknya dengan gabungan e-panggilan Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Syarikat itu turut bersetuju caj berkenaan dibilkan di aplikasi tempahan pelanggan bukan menggunakan kad Touch ‘n Go.

RA Consultant adalah syarikat dilantik Segi Astana Sdn Bhd iaitu pemegang konsesi kompleks bersepadu gateway@klia2.

Caj baharu itu yang bermula Jumaat lalu dibuat selepas syarikat menguruskan aliran trafik dan sistem beratur di klia2 memasang gantri di Aras 1, di mana pemandu e-panggilan dan teksi mesti menggunakan kad Touch ‘n Go mereka untuk masuk ke kawasan mengambil penumpang.

Pemandu juga dikehendaki mempunyai nilai minimum RM20 dalam kad Touch ‘n Go mereka.

Namun, pemandu terbabit dipercayai mengalihkan caj tambahan RM2 itu kepada penumpang mereka.

Sementara itu, jurucakap Malaysia Airports Holdings Bhd berkata kompleks bersepadu gateway@klia2 dan hab pengangkutan bukan bawah bidang kuasa syarikatnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.