
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan isu tersebut akan ditangani segera.
Katanya, satu mesyuarat akan diadakan Selasa ini bagi mendengar maklum balas daripada pihak penguat kuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Sehubungan itu, saya mengingatkan sama ada pihak pemborong, pengedar dan peniaga supaya tidak membuat tindakan menyimpan barang semata-mata untuk meraih keuntungan berlebihan.
“Bila barang berkurangan, harga akan naik namun orang ramai tetap perlu membelinya dan ini akan membebankan rakyat.
“Tindakan sedemikian adalah tidak baik kerana bukan sahaja susahkan orang ramai, sebaliknya tindakan mengambil keuntungan berlebihan juga bukan sifat yang mulia,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada 212 keluarga di Parlimen Ketereh yang kediaman mereka rosak akibat ribut baru-baru ini.
Annuar yang juga menteri komunikasi dan multimedia turut menasihatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga barang sempena PRU dan musim tengkujuh.
“Selain faktor PRU, ada kemungkinan peniaga menyimpan barang niaga sempena musim tengkujuh dan perkara ini perlu diselesaikan.
“Sekiranya mereka menyimpan barang kawalan, ia menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut akta tertentu,” katanya.