
Penganalisis politik Dr G Manimaran berkata, untuk merampas kerusi Parlimen itu, MIC perlu memantapkan lagi strategi kempen yang telah digunakan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.
“Dari segi strategi politik, langkah MIC untuk melepaskan kerusi Parlimen Cameron Highlands dan bertanding di Teluk Intan dilihat sebagai langkah ‘selamat’.
“Peluang (MIC) menang di Teluk Intan itu ada tetapi pertarungannya agak sukar,” kata Manimaran yang juga antara penulis buku “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang dan Tadbir” ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa MIC dijangka bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan bagi menggantikan kerusi Cameron Highlands di Pahang yang diberikan kepada Umno pada pilihan raya kecil (PRK) 2019.
Seorang lagi penganalisis politik, B Anbumani berkata, parti kaum India itu perlu meletakkan calon yang boleh diterima masyarakat tempatan untuk memenangi kerusi berkenaan.
“MIC tidak harus meletakkan calon payung terjun di Teluk Intan. Keputusan untuk beralih ke Teluk Intan membawa risiko politik untuk MIC dan Barisan Nasional (BN). Semua pihak perlu ingat jasa dan pengorbanan parti berkenaan (MIC),” katanya.
Sementara itu, Penyelaras MIC Parlimen Teluk Intan T Murugiah berkata, MIC sudah mula melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat di kawasan itu sejak 2019, iaitu sebelum wabak Covid-19 melanda.
Murugiah, Naib Presiden MIC yang dilahirkan di Taiping dan dibesarkan di Sitiawan, tidak jauh dari Teluk Intan berkata, sejak 2019, beliau menghabiskan hujung minggu di Teluk Intan.
Selepas Parlimen dibubarkan, beliau akan berkampung di situ sehingga PRU15, tambahnya.
“Ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), MIC memberikan bantuan menghantar barangan makanan kepada penduduk Teluk Intan. Selain itu, MIC turut memberi bantuan kepada mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi.
Murugiah yang pernah bertugas sebagai pegawai tentera dan guru sebelum berkecimpung dalam dunia politik berkata, Teluk Intan mempunyai 87,000 pengundi berdaftar, dan lebih 17,000 atau hampir 20% terdiri daripada pengundi India, manakala pengundi Melayu dan Cina masing-masing 40%
Pada PRU13, calon DAP Seah Leong Peng memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 7,313 undi.
Bagaimanapun pada PRK 2014, susulan kematian Seah, Presiden Gerakan Mah Siew Keong yang mewakili BN ketika itu merampas kerusi berkenaan apabila mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.
Pada PRU14, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming memenangi kerusi tersebut setelah mengalahkan Mah dengan majoriti 11,179 undi.