Majlis Muda dihadiri Syed Saddiq, pemimpin DAP diganggu, dibaling mercun

Majlis Muda dihadiri Syed Saddiq, pemimpin DAP diganggu, dibaling mercun

Kira-kira 30 individu mengganggu majlis makan malam anjuran Muda di Muar.

Tangkap layar video kejadian memaparkan sekumpulan individu mengganggu majlis anjuran Muda di Muar malam tadi. (Gambar Muda)
PETALING JAYA:
Majlis makan makan anjuran Muda di Muar, Johor yang dihadiri presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pemimpin DAP, diganggu sekumpulan individu, termasuk dibaling mercun dan botol.

Setiausaha Muda, Amir Hariri Abd Hadi memberitahu FMT kira-kira 30 individu mengganggu majlis yang berlangsung di Dewan Yong Sheng sekitar 9.30 malam tadi.

“Ada lebih kurang 30 orang datang buat provokasi,” katanya.

Beliau memaklumkan Pengerusi Muda Sabah, Amos Thien, cedera di bahagian kaki kerana terjatuh dalam kejadian itu. Kereta ahli Jawatankuasa Eksekutit Pusat Muda, Lim Wei Jiet juga didapati kemik, tambahnya.

“Mereka lari selepas buat kekecohan. Kekecohan berlaku antara 10 hingga 15 minit di luar dewan,” katanya.

Amir memaklumkan laporan polis akan dibuat.

“Majlis diteruskan seperti biasa selepas keadaan tenang,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq memaklumkan keadaan ditenangkan oleh anggota polis.

“Bila ahli Muda tanya datang dari mana? Mereka mula menganas baling botol, baling mercun, rosakkan kereta tetamu.

“Kalau tak suka dan nak lawan, kita lawan melalui politik dasar dan khidmat,” katanya di Facebook.

Majlis yang disertai lebih 500 orang itu turut dihadiri penyandang kerusi Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, dan penyandang Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin.

Ini kali kedua majlis Muda diganggu. Pada 17 Ogos lalu, ceramah di Muar diganggu sekumpulan individu bermotor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.