Jangan memilih-milih syor siasatan buku Tommy Thomas, Lim tegur Ismail

Jangan memilih-milih syor siasatan buku Tommy Thomas, Lim tegur Ismail

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, menyoal sama ada Ismail Sabri akan terima pakai semua syor petugas khas, termasuk pengasingan pendakwa raya.

Lim Guan Eng berkata Ismail tidak boleh memilih-milih cadangan pasukan petugas khas, yang turut mencadangkan pengasingan fungsi peguam negara dan pendakwa raya.
PETALING JAYA:
Lim Guan Eng, menegur Perdana Menteri Sementara, Ismail Sabri Yaakob, supaya jangan memilih-milih syor pasukan petugas khas (STF) yang menyiasat buku bekas peguam negara, Tommy Thomas, “My Story – Justice In Wilderness”.

Pengerusi DAP itu menyoal sama ada Ismail akan terima pakai cadangan mengalakkan kebebasan badan kehakiman daripada campur tangan politik, antaranya pengasingan fungsi peguam negara dan pendakwa raya; menghapuskan penglibatan eksekutif dalam pelantikan badan untuk pemilihan hakim; dan memberikan kuasa melantik pegawai kehakiman kepada ketua pendaftar mahkamah.

“Ismail tidak boleh memilih-milih cadangan STF dengan niat semata-mata untuk laba politik dalam pilihan raya umum yang akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan menyahklasifikasikan laporan siasatan ke atas memoir Thomas, yang boleh didapati di laman sesawang Bahagian Hal Ehwal Undang Undang Jabatan Perdana Menteri mulai semalam.

Ismail dalam kenyataan bulan lepas mengumumkan beliau mengarahkan siasatan lanjut terhadap kemungkinan salah laku oleh Thomas, susulan pembentangan laporan siasatan kepada Jemaah Menteri.

Katanya, pasukan itu mengkategorikan 19 isu penting yang dikesan dalam buku berkenaan kepada empat isu utama, iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional dan kenyataan berbaur hasutan.

STF seterusnya mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan.

Selasa lalu, Ismail, yang juga naib presiden Umno, dilapor menggesa jentera pilihan raya Barisan Nasional memanfaatkan laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.