Pengawal keselamatan ditahan dera anak angkat

Pengawal keselamatan ditahan dera anak angkat

Polis berkata, suspek dan isterinya menjaga kanak-kanak lelaki itu sejak berusia lima bulan.

Polis berkata, mangsa mengalami kecederaan di badan, kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan.
PETALING JAYA:
Seorang pengawal keselamatan ditahan semalam kerana disyaki mendera anak
angkatnya berusia empat tahun di Ampang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek ditahan selepas adik iparnya membuat laporan.

Katanya, pengadu pada awalnya bertengkar dengan kakak iparnya kerana tidak berpuas hati selepas melihat pasangan itu memarahi kanak-kanak lelaki terbabit, selain mendakwa pernah melihat suspek memukul mangsa.

Beliau berkata, mangsa dijaga pasangan itu sejak berumur lima bulan, selepas individu tidak dikenali menyerahkannya secara sukarela kepada mereka.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki, serta kesan luka di bahagian kemaluan, dipercayai didera menggunakan tangan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan.

Farouk berkata, mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Katanya, suspek yang ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hasil ujian saringan air kencing suspek negatif dadah.

Beliau berkata, suspek direman lima hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.