
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, Naval Group juga bersetuju meneruskan rundingan kos pembinaan dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
BNS ditugaskan Kementerian Pertahanan untuk membina enam LCS. BNS adalah anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp.
Naval Group sebelum ini dikenali sebagai DCNS ditugaskan untuk membantu BNS dalam pembinaan enam kapal tempur itu untuk Tentera Laut Diraja Malaysia. Ia juga bertanggungjawab dalam reka bentuk asas dan terperinci kapal itu.
Kementerian Pertahanan berkata, komitmen Naval Group itu adalah perkembangan sangat signifikan dan positif dalam projek LCS.
“Ini menunjukkan semua pihak berkaitan melaksanakan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin,” katanya sambil menambah semua rundingan akan dimuktamadkan akhir Disember ini.
Projek LCS dianggap perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia, dengan kos keseluruhan RM9 bilion.
Projek itu mencetuskan kontroversi selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan tiada sebuah pun kapal itu disiapkan, walaupun kerajaan sudah membayar RM6.08 bilion.
Projek itu dianugerahkan kepada BNS secara rundingan terus.