JAC tak namakan 3 individu untuk jawatan tertinggi hakim, menurut laporan

JAC tak namakan 3 individu untuk jawatan tertinggi hakim, menurut laporan

Richard Malanjum, Ahmad Maarop dan David Wong dilantik sebagai ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan serta hakim besar Sabah dan Sarawak pada Julai 2018.

Menurut laporan kerajaan, pelantikan Richard Malanjum, Ahmad Maarop dan David Wong bukan atas saranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak mencadangkan pelantikan Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara, Ahmad Maarop sebagai presiden Mahkamah Rayuan serta David Wong sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak pada Julai 2018, menurut laporan kerajaan.

Pasukan petugas khas mendapati Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas dan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pelantikan tiga individu terbabit, serta Zaharah Ibrahim sebagai hakim besar Malaya, menurut memoir bekas peguam negara itu.

Ini menyusul peletakan jawatan Mohamed Raus Sharif sebagai ketua hakim negara dan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai presiden Mahkamah Rayuan pada Jun 2018.

Dalam laporan yang didedahkan kepada umum, pasukan petugas itu menegaskan JAC mengesyorkan pelantikan Azahar Mohamed, hakim besar Malaya ketika ini sebagai ketua hakim negara, bukannya Malanjum.

JAC turut mencadangkan pelantikan Rohana Yusuf sebagai presiden Mahkamah Rayuan, jawatan yang disandangnya kini, serta Abdul Rahman Sebli sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak.

“Jika perdana menteri tidak bersetuju dengan pemilihan ini, beliau sepatutnya meminta lebih banyak nama untuk setiap jawatan kehakiman yang kosong. Tiada bukti ditemui pasukan petugas bahawa beliau sudah membuat permintaan sedemikian,” kata pasukan petugas itu.

“Sebaliknya, daripada laporan Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, nama-nama yang dikemukakan oleh perdana menteri ketika menyampaikan nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 122B adalah nama yang dibincang dan dipersetujui antara (Mahathir) dan (Thomas).”

Langgar Perlembagaan Persekutuan

Pasukan petugas itu berkata, Mahathir melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam melantik Wong sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak kerana gagal berunding dengan ketua menteri Sabah serta Sarawak terlebih dahulu seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, ini ialah “pelanggaran ketara” apabila ketua menteri Sabah dan Sarawak ketika itu mengesahkan mereka dirujuk berhubung pelantikan Abang Iskandar Hashim ke jawatan sama pada 2019.

“Kegagalan berunding dengan dua ketua menteri berhubung pelantikan Wong sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak adalah pelanggaran Perlembagaan, di mana jelas Thomas sebagai peguam negara ketika itu tidak menasihati perdana menteri untuk mematuhinya.”

Laporan gesa sekatan terhadap peranan PM

Pasukan petugas itu mencadangkan Akta JAC dipinda untuk melarang perdana menteri daripada menasihati Agong melantik sesiapa saja ke jawatan kehakiman dalam mahkamah atasan, jika orang yang dilantik itu tidak dipilih JAC.

Ia turut mencadangkan empat individu utama dalam JAC perlu dilantik oleh Agong, bukannya perdana menteri bagi memastikan kebebasan kehakiman terus terpelihara.

JAC terdiri daripada sembilan anggota – empat pentadbir tertinggi kehakiman yang diketuai ketua hakim negara, seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan dan empat individu utama lain, yang kini dilantik oleh perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.