
Ameyrudin Ahmad Zuki, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menyembunyikan wang berjumlah RM10,000 hasil aktiviti haram ke dalam akaun rakannya, Shahirudin Mohamad, melalui tiga transaksi deposit di Bank Islam Malaysia Bhd Kepala Batas.
Tuduhan kedua pula menyatakan dia menyembunyikan wang hasil aktiviti haram dalam jumlah yang sama juga ke dalam akaun milik Shahirudin, melalui tiga transaksi deposit di Malayan Banking Bhd Kepala Batas.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4 Ogos 2018.
Tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap tuduhan kerana mengambil kira tahap keseriusan kes membabitkan anggota polis.
Bagaimanapun, peguam mewakili Ameyrudin, Y Yogeswaran memohon jaminan sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua tuduhan.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 20 Dis untuk sebutan semula kes.