Akses mudah niaga digital untuk penjaja, peniaga kecil

Akses mudah niaga digital untuk penjaja, peniaga kecil

Platform pendigitalan itu akan menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai dalam bentuk QR DuitNow bagi penjaja dan peniaga kecil seperti di pusat beli-belah.

Peniaga Norhaslina Mohd Fisul (tengah) berkata, Kad Prihatin Penjaja In2Niaga mampu membantu perniagaannya berkembang.
KUALA LUMPUR:
Penjaja dan peniaga kecil mengalu-alukan pengenalan Kad Prihatin Penjaja In2Niaga, inisiatif yang dapat membantu mereka memudahkan transaksi perniagaan menerusi pendigitalan.

Platform pendigitalan itu akan menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai dalam bentuk QR DuitNow, bagi penjaja dan peniaga kecil seperti dilaksanakan premis perniagaan di pusat beli-belah.

“Semua makluman transaksi masuk terus ke telefon anda, bererti anda tidak perlu meminta pelanggan menunjukkan bukti pembayaran,” kata Abdul Razak Nordin dari Datasonic Group Bhd, antara pihak terlibat dalam inisiatif itu.

Beliau yang ditemui pada Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil 2022 di Dataran Merdeka memberitahu FMT, kad itu akan membantu membentuk komuniti tanpa tunai untuk penjaja dan peniaga kecil, seterusnya memacu produktiviti.

Program perintis Kad Prihatin Penjaja akan diadakan di Kuala Lumpur selama tiga bulan, manakala Putrajaya menyasarkan untuk memperluaskannya kepada penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara, tahun depan.

“Sasaran kami adalah sejuta pengguna,” kata Razak.

Rosli Mat Piah, peniaga beg di pasar malam teruja dengan platform itu memandangkan peniaga kecil sepertinya kini dapat menarik pelanggan yang tidak membawa wang tunai.

Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob, Menteri Wilayah Persekutuan sementara, Shahidan Kassim, dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sementara, Noh Omar di Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil.

“Pelanggan kadangkala tidak membawa wang tunai dan mungkin tidak membeli apa-apa, sekiranya tiada mesin ATM. Teknologi ini pasti memudahkan pelanggan dan kami juga,” katanya.

Norhaslina Mohd Fisul, yang menjual produk kesihatan dan kecantikan berkata, Kad Prihatin Penjaja dapat membantunya memperluaskan perniagaannya kerana menyediakan pangkalan data pelanggan untuk tujuan pemasaran dan jualan.

“Saya pasti akan memohon (untuk program itu). Ia sesuatu yang baharu dan saya tidak lihat sebab untuk tidak menggunakannya,” katanya.

Ketika berucap dalam acara itu, Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau memahami perasaan golongan itu kerana pernah menjadi penjaja ketika kecil dengan menjual limau dan ikan di pasar minggu Temerloh.

“Penjaja sentiasa dekat di hati saya. Apa yang penjaja bangkitkan saya faham, sebab saya pernah menjadi penjaja, hidup saya sama dengan penjaja, apa yang penjaja rasa, saya dah lalui dulu,” katanya dengan turut berjanji berusaha memenuhi permintaan golongan itu sekiranya diberi mandat mengetuai kerajaan sekali lagi.

Lebih 500 peniaga menyertai pesta itu yang menarik kira-kira 30,000 pengunjung. Program selama dua hari itu berakhir esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.