Usah bimbang kemampuan kerajaan laksana Bajet 2023, kata menteri

Usah bimbang kemampuan kerajaan laksana Bajet 2023, kata menteri

Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion yang dibentangkan pada 7 Okt lalu adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Tengku Zafrul Aziz meminta rakyat tidak perlu bimbang kerana Bajet 2023 dirangka berdasarkan unjuran pendapatan negara pada tahun depan. (Gambar Bernama)
PUNCAK ALAM:
Rakyat tidak perlu bimbang kemampuan kerajaan dalam menyediakan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion dalam Bajet 2023 kerana ia dirangka berdasarkan unjuran pendapatan negara pada tahun depan, kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

“Jika rakyat tak yakin dengan Bajet 2023, terutamanya pasaran kewangan, pelabur…sudah pasti kita akan tahu sekarang, tapi tak ada kan?” katanya selepas menghadiri karnival usahawan dan koperasi peringkat Selangor.

“Rakyat tak perlu bimbang kerana seperti biasa, apa-apa bajet yang disediakan pada 2020, 2021, 2022 atau 2023 memang ada peruntukan untuk bajet itu dilaksanakan.”

Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt lalu adalah belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Ditanya sama ada Bajet 2023 akan mengalami sebarang pindaan apabila dibentangkan semula selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), beliau berkata, ia bergantung kepada kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti.

“Ia bergantung kepada Jemaah Menteri, jika kita menang, sudah tentu kita akan bentangkan apa yang telah kita rangka atau lebih baik lagi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.