Badan pemikir gesa wujud garis panduan jelas peranan kerajaan sementara

Badan pemikir gesa wujud garis panduan jelas peranan kerajaan sementara

IDEAS berkata, perdana menteri sementara tidak boleh melupuskan hutang lapuk peneroka Felcra berjumlah RM233.8 juta.

Selepas Ismail Sabri Yaakob melupuskan hutang peneroka Felcra berjumlah RM233.8 juta, IDEAS berkata, Malaysia perlu menerima pakai konvensyen sementara yang serupa dengan Australia dan Kanada. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menggesa garis panduan lebih jelas mengenai peranan kerajaan sementara, selepas Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob bersetuju melupuskan hutang peneroka Felcra berjumlah RM233.8 juta.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata, peranan kerajaan sementara tidak jelas di Malaysia berbanding negara seperti Australia dan Kanada yang mengadakan konvensyen sementara yang menggariskan tanggungjawab pentadbiran interim.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh menggesa Malaysia turut mengadakan konvensyen serupa atau menggubal Akta Kawal Selia Kerajaan Sementara bagi garis panduan lebih jelas dan ketat untuk kerajaan sementara pada masa depan.

“Ini bagi memastikan risiko salah guna kuasa oleh kerajaan sementara boleh dikurangkan dan lebih dapat dibendung,” katanya dalam kenyataan.

Yeoh berkata, dalam majlis di Tapah, Perak pada 17 Okt lalu, perdana menteri sementara mengumumkan persetujuannya untuk melupuskan hutang peneroka Felcra berjumlah RM233.8 juta “sebagai ganjaran”, dengan syarat beliau kembali berkuasa.

Katanya, pengumuman itu memberi gambaran buruk kepada kerajaan sementara dan perlu dibatalkan.

Menurutnya, peranan kerajaan sementara hanyalah mengendalikan hal ehwal pentadbiran sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Ini bermakna kerajaan sementara tidak boleh meluluskan, menandatangani atau membuat sebarang perjanjian atau ikrar, serta tidak patut membuat pelantikan politik baharu, keputusan berhubung perolehan utama atau belanjawan.

“Ia juga penting untuk menyatakan Malaysia kurang pengalaman dalam peralihan kuasa di peringkat persekutuan. Sebab itu peranan kerajaan sementara adalah penting dalam memastikan peralihan kuasa yang lancar kepada kerajaan baharu,” katanya.

Dalam majlis di Tapah, Ismail mengumumkan bantuan musim tengkujuh berjumlah RM191 juta kepada 232,319 pekebun getah kecil di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), selain pengagihan keuntungan sementara yang akan dibayar secara berperingkat bermula 17 Okt lalu kepada 74,949 peneroka Felcra di seluruh negara.

Bersih dan beberapa bekas Ahli Parlimen pembangkang menyelar Ismail berhubung pengumuman itu dengan berkata, sebagai perdana menteri sementara, beliau tiada kuasa melupuskan hutang berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.