‘Tak perlu pecat, kami boleh letak jawatan lebih awal’, kata Latiff

‘Tak perlu pecat, kami boleh letak jawatan lebih awal’, kata Latiff

Menteri dari Bersatu itu meluahkan rasa tidak puas hati berhubung kenyataan Ismail Sabri Yaakob yang mahu 'pecat menteri' dalam ucapan politik, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad, berkata walaupun perdana menteri mempunyai kuasa lantik dan pecat, namun menteri Kabinet juga mempunyai maruah.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dr Abd Latiff Ahmad membidas kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang ingin memecat menteri dalam kerajaan yang tidak setuju dengan pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, Ismail tidak perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa kerana menteri Kabinet boleh meletak jawatan lebih awal kerana mempunyai “maruah”.

“Perkataan seperti ‘pecat menteri’ walaupun itu kenyataan gurau dan sinikal, tidak perlu dicakapkan dałam program politik.

“Memang kita tahu perdana menteri mempunyai kuasa ‘hire and fire’ (lantik dan pecat), namun kami pun ada maruah. Tidak perlu pecat kami, kami pun boleh letak jawatan lebih awal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ismail ketika perdana menteri sementara itu menghadiri perhimpunan politik, di Kompleks Umno Bagan Datuk, Perak, mengenai kemampuannya memecat 12 menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah pembubaran Parlimen.

“Saya bawa dalam (mesyuarat) Kabinet supaya Kabinet tahu niat saya (untuk) membubarkan Parlimen. Memanglah ada pelbagai pandangan, tetapi akhirnya saya membuat keputusan. Saya beritahu dia orang kalau ‘you all’ tak setuju, saya bubarkan saja Kabinet ini.

“Silap, patutnya saya pecat semua sekali, tapi saya tidaklah seperti itu. Saya orangnya baik, lemah lembut, tetapi bukan lembut,” kata Ismail memetik laporan Berita Harian.

Dalam pada itu, Latiff berkata, jika Ismail menyatakan hasrat untuk membubarkan Parlimen secara terus terang dan ikhlas, beliau percaya Jemaah Menteri akan bersetuju dan memberi mandat kepadanya.

Beliau berkata, malah pada 7 Okt, tiga hari sebelum pembubaran Parlimen, seorang menteri kanan ada bertanyakan kepada Ismail bila perdana menteri itu ingin membubarkan Parlimen.

“(Namun) Ismail masih berteka-teki dengan anggota Jemaah Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Latiff mendakwa, Ismail tidak pernah meminta mandat daripada anggota Jemaah Menteri mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Katanya, Ismail hanya ada menyatakan bahawa beliau ingin mengutamakan persediaan bencana, monsun timur laut dan kos barangan (ekonomi), berbanding pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, Ismail berkata, keputusan pembubaran Parlimen dibuat berikutan 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar dengan mengutuskan warkah kepada Agong.

Katanya pembubaran itu bertujuan menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.