Saya tak nyanyuk, masih boleh jadi calon PRU, kata Dr M

Saya tak nyanyuk, masih boleh jadi calon PRU, kata Dr M

Pengerusi Pejuang menolak dakwaan kononnya sudah 'nyanyuk' dan tidak lagi mampu bertanding dalam pilihan raya umum.

Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun sudah berusia 97 tahun beliau masih belum nyanyuk dan mampu bertanding pada PRU15.
PUTRAJAYA:
Dr Mahathir Mohamad berkata beliau masih layak menjadi calon pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) meskipun sudah lanjut usia.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya dirinya sudah “nyanyuk” dan tidak lagi mampu bertanding dalam pilihan raya,

“Saya ini nampak nyanyuk ke? Saya boleh tak jawab soalan ‘you’? (pemberita). Iyalah memang kebiasaannya orang umur 97 tahun ini sudah nyanyuk,” katanya semasa sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana selepas mempengerusikan mesyuarat Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cakap-cakap orang ramai yang mempersoalkan keputusannya menjadi calon bagi mengekalkan kerusi Parlimen Langkawi.

Minggu lalu, Mahathir mengumumkan beliau menjadi calon GTA bertanding di Langkawi menggunakan logo Pejuang pada PRU15.

Dalam perkembangan sama Mahathir yang juga pengerusi penaja GTA akan mengumumkan senarai calon gabungan itu minggu depan.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat sebelum hari penamaan calon.

Dalam pada itu, Mahathir berkata pihaknya masih dalam proses akhir untuk memuktamadkan jumlah kerusi akan ditandingi gabungan itu.

“Kita belum buat keputusan lagi, sudah dibincangkan tapi belum dimuktamadkan. Kemudian (jumlah kerusi) kita akan beritahu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.