Rundingan rasmi dengan Muda tak lama lagi, kata naib presiden PKR

Rundingan rasmi dengan Muda tak lama lagi, kata naib presiden PKR

Nik Nazmi Nik Ahmad mengharapkan 'penyelesaian baik' daripada rundingan kerusi antara PH dan Muda.

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berharap rundingan pengagihan kerusi boleh diadakan ‘tidak lama lagi’ dengan Muda supaya ia dapat dimuktamadkan.
PETALING JAYA:
PKR sedia mengadakan rundingan rasmi pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan Muda, kata Naib Presidennya, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berharap rundingan itu akan diadakan “tidak lama lagi” supaya perkara itu boleh dimuktamadkan.

“Kami mengharapkan penyelesaian baik daripada mesyuarat itu,” katanya kepada FMT sambil menambah beliau menemui Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pagi tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas laporan Malaysiakini berhubung Muda yang bercadang bergerak solo pada PRU15 disebabkan kurang kemajuan dalam rundingan dengan Pakatan Harapan.

Nik Nazmi menganggotai jawatankuasa PH terdiri daripada empat ahli yang pada mulanya ditugaskan untuk berbincang dengan Muda berhubung permohonan parti itu menyertai PH.

Terdahulu, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz menggesa PH mengadakan rundingan rasmi segera mengenai pengagihan kerusi kerana perbincangan rasmi belum bermula lagi.

Katanya, beliau sudah menghubungi pemimpin PH untuk mengadakan pertemuan dengan Majlis Presidennya berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, gabungan itu hanya mempertimbangkan pakatan pilihan raya dengan Muda bagi menghadapi PRU15, bukannya sebagai parti komponen.

Amira berkata, Muda bersetuju dengan tiga syarat PH untuk pakatan itu, termasuk parti itu menyokong calon perdana menterinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.