Permohonan semakan kehakiman halang PRU15 didengar esok

Permohonan semakan kehakiman halang PRU15 didengar esok

Permohonan dibuat seorang pengundi itu mendakwa perdana menteri 'caretaker' bertindak secara tidak munasabah ketika melaksanakan kuasanya untuk memohon pembubaran Parlimen.

Seorang pengundi mahu Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa permohonan Ismail Sabri Yaakob kepada Agong untuk membubarkan Parlimen adalah terbatal dan tidak sah. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi esok akan mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh seorang pengundi yang ingin menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengundi terbabit mendakwa perdana menteri “caretaker” bertindak secara tidak munasabah.

Peguam R Kengadharan, yang mewakili Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar, berkata pendengaran secara ex parte akan diadakan di mahkamah terbuka di hadapan Hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

“Seperti yang dikehendaki bawah undang-undang, semua kertas undang-undang telah diserahkan kepada peguam negara (AG) awal minggu ini,” kata Kengadharan kepada FMT.

Peguam A Srimurugan berkata, walaupun prosiding itu ditetapkan sebagai perbicaraan secara ex parte, peguam negara atau peguam kanan persekutuan berhak untuk hadir di mahkamah esok.

“Sebagai penjaga kepentingan awam, peguam negara mesti diberi hak untuk dibicarakan sama ada beliau menyokong atau membantah pendengaran kes itu atas meritnya,” katanya.

Syed Iskandar, 55, yang juga seorang peguam, memfailkan permohonan semakan kehakiman itu minggu lepas, menamakan Ismail Sabri Yaakob, pengerusi SPR dan kerajaan sebagai responden.

Katanya, Ismail bertindak secara tidak munasabah ketika melaksanakan kuasanya untuk memohon pembubaran Parlimen.

Pemohon, yang merupakan pengundi di kawasan Parlimen Pandan, mahu deklarasi bahawa permintaan Ismail, yang dibuat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Okt lepas, adalah terbatal dan tidak berkuat kuasa.

Syed Iskandar berkata, Ismail silap apabila bergantung kepada Perkara 40(2)(b) dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menamatkan penggal Dewan Rakyat.

Dia mahu writ larangan menghalang pengerusi SPR, penjawat atau ejennya daripada mengambil langkah menjalankan PRU15.

Pada 10 Okt, Ismail mengumumkan pembubaran Parlimen, bagi memberi laluan untuk pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari.

Pada hari sama, Istana Negara mengeluarkan kenyataan media bahawa Agong tidak mempunyai pilihan lain selain membubarkan Parlimen berikutan perkembangan politik yang mengecewakan.

Syed Iskandar, yang memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan itu, berkata Ismail melanggar kewajipan fidusiarinya kerana gagal mempertimbangkan kebajikan dan kepentingan golongan miskin yang mengundi.

Katanya, Ismail gagal mempertimbangkan kesan banjir yang mungkin berlaku. Sebaliknya, katanya, perdana menteri itu hanya mempertimbangkan kepentingan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan pertuduhan jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.