
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan perkara itu semasa perbicaraan kes rasuah bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkaitan projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion, menurut laporan Bernama. Gnanaraja, 41, merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes Lim.
Pada 3 April, 2019, ahli perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut itu. Dia didakwa memperdayakan Zarul untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu menutup siasatan dimulakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa.
Semakan di laman web SPRM mendapati Gnanaraja didenda RM230,000 mengikut Seksyen 218 (1)(A) Akta Syarikat 2016 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 23 Disember 2020. Difahamkan, ahli perniagaan itu mengaku bersalah atas tuduhan pilihan mengikut Akta Syarikat di sebalik pertuduhan menipu.
Semasa prosiding, Mahadi berkata kertas siasatan diklasifikasikan NFA dan pasukan pendakwaan bagi kes Lim tidak mempunyai laporan berkenaan kes Gnanaraja di Mahkamah Shah Alam.
Beliau menjelaskan demikian apabila peguam utama Lim, Gobind Singh Deo, berkata pihak pembelaan akan memfailkan permohonan prosiding menghina mahkamah terhadap pendakwaan kerana didakwa melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 29 Sept lalu.
Mahkamah mengarahkan pegawai penyiasat Jabatan Forensik SPRM, Wan Mohd Firdaus Yusof, mengemukakan salinan imej kandungan perbualan telefon milik Zarul Ahmad.
Perintah itu juga agar pendakwaan mengemukakan perincian laporan, yang disediakan untuk kes Gnanaraj, berkenaan salinan digital perbualan WhatsApp antara Zarul dan Gnanaraja.
Dakwaan menghina mahkamah oleh Gobind bangkit susulan pemeriksaan balas dengan Firdaus hari ini, apabila beliau berkata tidak boleh mendapatkan perincian yang diminta berikutan pihak pembelaan tidak memberikan nombor rujukan laporan forensik bagi kes mahkamah di Shah Alam.
Gobind kemudian mempersoalkan mengapa ini menjadi masalah kerana DPP Nik Haslinie Hashim, yang berada dalam pasukan pendakwaan kes Lim turut mengendalikan kes Gnanaraja.
Mahadi kemudian membantah dakwaan itu dan berhujah bahawa perbualan WhatsApp tidak relevan dalam kes semasa terhadap Lim.
Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung 23 Nov ini.
Lim, 61, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, bekas setiausaha agung DAP itu didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.
Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.