Kelemahan kita ialah tak boleh ditegur, kata Anwar

Kelemahan kita ialah tak boleh ditegur, kata Anwar

Pengerusi PH itu berkata adalah tidak munasabah sistem pendidikan tidak mengambil kira pandangan ibu bapa dan guru.

Anwar Ibrahim, bekas menteri pendidikan, berkata sistem pendidikan yang ‘keliru’ perlu diubah jika kerajaan baharu mengambil alih.
PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, adalah tidak munasabah bagi sistem pendidikan tidak mengambil kira pandangan ibu bapa dan lebih penting ialah guru.

“Sekiranya masih ada mentaliti angkuh, seperti yang ada di kalangan sesetengah kepimpinan kita, di mana guru tidak dibenarkan bersuara, kebebasan berfikir akan dikekang,” katanya dalam video di Facebook.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH), berkhidmat sebagai menteri pendidikan dari 1986 hingga 1991.

“Apa kelemahan kita? Kita tidak boleh mendengar. Tidak boleh mendengar teguran atau perspektif kritikal,” katanya.

Jika berlaku perubahan dalam kepimpinan Malaysia, katanya, sistem “keliru” ini perlu diubah.

Walaupun beliau tidak menyebut sebarang insiden, tetapi kenyataan Anwar bertepatan dengan kes guru matematik Fadli Salleh, yang telah menimbulkan kebimbangan terhadap silibus matematik di sekolah rendah.

Pada Ahad, Fadli mendedahkan bahawa lembaga disiplin kementerian pendidikan telah mengeluarkan surat kepadanya, memberi amaran kemungkinan dipecat atau turun pangkat, kerana menyuarakan pendapatnya mengenai silibus matematik yang didakwanya “terlalu tinggi”.

“Saya hanya bercakap secara jujur. Silibus terlalu padat dan tinggi. Terlalu ramai pelajar dalam setiap kelas dan mereka perlu mempelajari banyak mata pelajaran lain, jadi masa yang dihabiskan untuk mata pelajaran teras, seperti matematik, adalah terlalu pendek.

“Kenapa Kementerian Pendidikan mahu memecat saya? Adakah kerana saya bercakap benar? Mereka tidak dapat menangani kebenaran. Mereka hanya mahu mendengar sanjungan dan pujian,” katanya.

Semalam, Fadli berkata, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan bahawa dia tidak melanggar mana-mana peraturan, dan tidak akan menghadapi sebarang tindakan tatatertib kerana menyiarkan rungutannya di media sosial.

Beliau juga berkata, semua pertuduhan terhadapnya telah digugurkan.

Guru SK (1) Gombak itu berkata, netizen telah memainkan peranan besar dalam keputusan lembaga itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.