
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan semalam kerana disyaki melakukan penganiayaan dan khianat terhadap haiwan dengan mencampak tiga ekor kucing dipercayai milik jirannya dari tingkat 15 di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, penahanan suspek berusia 44 tahun itu berdasarkan laporan polis yang diterima Isnin lalu.
“Susulan penahanan lelaki itu, polis turut menemui tiga ekor kucing yang tidak bernyawa bersamanya.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes ini dengan membuang kucing-kucing milik jirannya itu dari kediamannya di tingkat 15,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek kini direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan.