Bank tolak beri pinjaman, PKS terpaksa cari biaya alternatif

Bank tolak beri pinjaman, PKS terpaksa cari biaya alternatif

Menurut Samenta, tiba masa bank mempertimbangkan data alternatif untuk meluluskan pinjaman seperti trend jualan, pemilikan aset dan penguasaan pasaran.

Dokumentasi lemah dan sumber kewangan tidak memberangsangkan biasanya menyukarkan PKS memperoleh pinjaman bank dan terpaksa beralih kepada alternatif lebih membebankan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemimpin perniagaan memberi amaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terdedah kos lebih tinggi kerana terpaksa mencari pembiayaan alternatif demi memastikan perniagaan bertahan, susulan kesulitan mendapat sokongan pembiayaan daripada bank.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng, memberitahu FMT, dokumentasi lemah dan sumber kewangan tidak memberangsangkan menjadi sebab utama PKS sukar memperoleh pinjaman bank.

Kajian dijalankan Samenta pada Julai turut mendapati punca lain termasuk kurang modal kerja selain aliran tunai tidak mencukupi.

Menurut Ng cabaran didepani pengusaha itu bukan perkara baharu. PKS sudah pun bergelut mendapatkan pinjaman bank sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Bagaimanapun, masalah menjadi semakin buruk selepas negara melaksanakan beberapa siri penutupan, sejak dua tahun lalu.

“Pandemik menjejaskan kemampuan banyak PKS untuk beroperasi. Kesannya, rekod kewangan bagi 2020 dan 2021 menunjukkan kesan tidak ideal. Jadi, ia menyukarkan pihak bank meluluskan pinjaman kepada mereka,” katanya.

Ia sekali gus menjadikan mereka terpaksa mencari bentuk pinjaman alternatif demi menyokong kelangsungan perniagaan, kata Ng.

Satu kaedah daripadanya adalah pembiayaan ‘peer-to-peer’ (P2P), yang membolehkan perniagaan mengumpul dana daripada pelabur menerusi platform dalam talian.

Bagaimanapun, PKS lain pula beralih kepada pinjaman wang tidak berlesen bagi mendapatkan wang pendahuluan, menjadikan mereka menanggung kadar faedah lebih tinggi.

Daripada perspektif bank, kelulusan pinjaman meningkat secara signifikan bagi PKS tahun ini, berbanding 2021.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Hamirullah Boorhan, berkata kadar kelulusan bagi suku kedua tahun ini (2Q22) dilihat lebih tinggi, berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kadar kelulusan meningkat 21.7%, didorong permohonan pinjaman lebih tinggi,” katanya.

Hamirullah merujuk permohonan pinjaman dinilai berasaskan beberapa ciri tertentu, termasuk bukti pemohon mempunyai aliran tunai mencukupi untuk mengekalkan perniagaan masing-masing.

Katanya, bagi memastikan permohonan pinjaman lulus, PKS mesti mengekalkan rekod kewangan sewajarnya. Beliau mengesyorkan penggunaan penyelesaian perbankan digital kerana memudahkan penyimpanan rekod.

“PKS juga mesti menunjukkan kejelasan dalam unjuran aliran tunai mereka. Ini penting bagi menunjukkan keupayaan membayar balik berdasarkan operasi perniagaan semasa syarikat,” katanya.

Dalam pada itu, Ng yakin tiba masa bagi pihak bank menunjukkan keanjalan lebih besar mempertimbangkan data alternatif bagi kelulusan pinjaman, termasuk data perniagaan seperti trend jualan, pemilikan aset dan penguasaan pasaran.

Katanya, ada bank yang sudah mula melihat aspek terbabit sebagai sebahagian proses kelulusan pinjaman.

Ng menyatakan harapan agar Bank Negara Malaysia (BNM) boleh menerajui dalam mengenal pasti ciri lebih luas bagi menyakinkan pihak bank ketika memproses permohonan pinjaman.

“Ini akan memberi peluang lebih baik kepada perniagaan kecil-kecilan mendapatkan pembiayaan diperlukan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.