
Pesuruhjaya Kehakiman Kenneth Yoong Ken Chinson St James memutuskan bahawa “tiada isu boleh dibicarakan mahupun isu lain” yang memerlukan perbicaraan penuh.
Penghakiman terus merupakan prosiding di mana mahkamah memutuskan kes menerusi hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh.
“Saya dengan itu membenarkan permohonan LHDN memasukkan penghakiman sebanyak RM1,053,972,936.58 dengan faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman (17 Okt) hingga tarikh realisasi penuh,” kata St James.
LHDN berkata Low, yang dipercayai sedang berada di Macau atau China, gagal mengemukakan penyata cukainya bagi 2013 dan 2014 berjumlah lebih RM1.05 bilion.
Agensi itu memfailkan saman tahun lalu bagi mendapatkan jumlah cukai berkenaan.
Dalam pembelaan Low, beliau mendakwa bahawa dia “tidak mempunyai sebarang akaun bank di Malaysia sepanjang tahun taksiran 2013 dan 2014”. Low juga berkata, dia tidak menjalankan apa-apa perniagaan di Malaysia dalam tempoh terbabit.
Bagaimanapun, mahkamah menolak pembelaannya dengan menyatakan bahawa “tidak mempunyai akaun bank di Malaysia bukan pembelaan bagi tuntutan cukai”. Mahkamah juga berkata, “tidak menjalankan perniagaan di Malaysia bukan pembelaan terhadap tuntutan cukai”.
“Saya berpandangan bahawa saya tidak perlu mempertimbangkan dua penegasan sebagai sebahagian pembelaan pihak defendan,” kata St James.
Notis Merah Interpol sudah dikeluarkan terhadap Low yang juga dikenali sebagai Jho Low, termasuk rakan sekutunya, Tan Kim Loong, bekas peguam 1MDB, Loo Ai Swan dan bekas pengarah eksekutif 1MDB, Tan Tang Keng Chee dan Geh Choh Heng – berhubung peranan mereka dalam 1MDB.
Didedahkan dalam perbicaraan SRC International Najib Razak bahawa Low meninggalkan Malaysia, pada 29 Mei 2015, manakala Tan pada 12 Mei 2015.
Loo, Tang dan Geh meninggalkan negara ini sebelum pilihan raya umum 2018.
LHDN juga memperoleh penghakiman ingkar terhadap Loo dan Tan berjumlah RM70.4 juta tunggakan cukai, manakala Tang diperintah membayar RM6.7 juta.
Semalam, Low dan ayahnya, Larry, dijatuhi hukuman penjara kerana menghina mahkamah oleh Mahkamah Tinggi kerana gagal mematuhi syarat dalam injunksi Mareva.