Dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin, Hamzah masih teliti laporan

Dakwaan ejen Mossad culik warga Palestin, Hamzah masih teliti laporan

Sebuah akhbar tempatan mendakwa ejen perisikan Israel merekrut aset tempatan untuk menculik warga Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam.

Hamzah Zainudin berkata, kerajaan sedang meneliti dakwaan kemasukan ejen Mossad ke Malaysia bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, jika dakwaan itu benar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang menculik seorang warga Palestin seperti dalam laporan sebuah akhbar tempatan hari ini, kata Hamzah Zainudin.

Menteri dalam negeri itu berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, jika benar ejen Mossad memasuki Malaysia.

Katanya, kerajaan sentiasa meneliti dan memantau setiap dokumen kemasukan rakyat asing ke negara ini.

Beliau berkata, jika terdapat mana-mana rakyat asing yang memasuki negara tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil.

“Sesiapa saja yang masuk ke negara kita, mereka perlu ada dokumen sah. Jadi, bila kita ada maklumat yang mengatakan ada orang masuk menggunakan dokumen tidak sah, kita akan pantau.

“Akhirnya, kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Terdahulu, laporan sebuah akhbar tempatan mendakwa perisik Israel memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik dua lelaki Palestin yang mereka percaya merupakan aset Briged Hamas al-Qassam.

Menurut laporan itu, tindakan perisik terbabit menyesuaikan taktik supaya tidak meninggalkan kesan penglibatan mereka dan aset tempatan dipercayai direkrut untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.