
Video pertama menjadi tular di media sosial pada 2017 dan yang kedua disiarkan di YouTube dua tahun lepas.
Pemohon terdiri daripada Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Bobby William, Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia S Shashi Kumar, Presiden Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak Ng Kim Ho, Naib Presiden Bekas Pelajar Sekolah Cina Chan Tuck Loong dan Presiden Pertubuhan Malaysia Tamilar Munnetra Kalagam K Sri Ramesh.
Mereka mahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan polis dan peguam negara yang, menurut mereka, enggan bertindak terhadap Syakir Nasoha atas kenyataan dibuat di sebuah masjid di Bakar Arang, Sungai Petani pada 16 Dis 2017, yang dirakamkan dalam video pertama.
Mereka juga berkata, video kedua yang dimuat naik ke YouTube pada 20 Okt 2020 telah mencetuskan kemarahan orang bukan Islam terhadap Syakir.
Mereka memohon perintah mandamus untuk memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pendakwah itu.
Kelima-lima mereka, yang memfailkan permohonan itu melalui peguam cara daripada Tetuan Gunaseelan & Associates bulan lepas, juga mahukan deklarasi bahawa keengganan mengambil tindakan terhadap Syakir adalah menyalahi undang-undang dan satu bentuk salah guna kuasa di pihak polis dan peguam negara.
Permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman akan didengar pada 1 Nov.
Pemohon berkata, kira-kira setahun lalu, sekurang-kurangnya 3,000 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap Syakir yang menggesa agar dia ditangkap dan didakwa kerana menghina dan memfitnah agama lain.
Mereka mendakwa, peguam negara menyatakan dalam surat kepada Shashi Kumar bertarikh 17 Jun bahawa kertas siasatan polis yang dihantar kepadanya Disember lepas telah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut”.
Keputusan itu adalah tidak rasional, tidak munasabah dan tidak bona fide, kata mereka.
Pemohon berkata, keputusan peguam negara bersifat arbitrari dan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana undang-undang tidak diguna pakai secara sama rata.
Mereka juga berkata, peguam negara, yang juga pendakwa raya, gagal menjalankan tugasnya seperti yang dikehendaki mengikut Perkara 145 Perlembagaan.
Menurut permohonan itu, video-video Syakir menyebabkan kemudaratan awam yang serius kerana menghina agama bukan Islam dan menyemai benih kebencian.
Pemohon mendakwa Syakir melakukan kesalahan bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.