Sukarelawan hidup semula kempen ‘carpool’ hantar pemilih mengundi

Sukarelawan hidup semula kempen ‘carpool’ hantar pemilih mengundi

Kumpulan sukarelawan tersebut dikatakan telah berjaya menghubungkan lebih 7,000 individu yang menawarkan kenderaan mereka sebagai pengangkutan pengundi.

Di media sosial, sudah ada yang menawarkan khidmat membawa pengundi ke Melaka, Perak dan Kelantan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sukarelawan yang menjalankan kempen “carpool” (kongsi kereta) ke pusat pengundian pada 2018 kembali menghidupkan usaha itu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Notis mengenainya dimuat naik di media sosial sejurus selepas Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada PRU15.

Ahli politik pembangkang telah mengkritik keputusan mengadakan PRU kerana bimbang kemungkinan banjir pada musim peralihan monsun yang dijangka bermula pada pertengahan November.

Pengguna Twitter mula memberi maklum balas berhubung insiatif “carpool” itu dengan ada yang sudah menawarkan khidmat membawa pengundi ke Melaka, Perak dan Kelantan.

Pengasas bersama inisiatif berkenaan, Raja Syazwani berkata: “Kami menumpukan kepada menghubungkan rakyat Malaysia yang menawarkan bantuan menjelang kedatangan musim monsun, sambil mengekalkan inisiatif ‘carpool’ meliputi seluruh Malaysia.”

Beliau berkata, kumpulan itu berjaya menghubungkan lebih 7,000 individu yang menawarkan kenderaan mereka sebagai pengangkutan pengundi.

Katanya, mereka akan bekerjasama dengan kumpulan lain yang menjalankan kempen kesedaran dan memaksimumkan sumber masing-masing.

“Kami harap lebih ramai pemilik kenderaan pacuan empat roda (4WD) tampil menawarkan bantuan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.